ALOR SETAR, 8 Ogos (Bernama) -- Walaupun pernah beberapa kali bendera yang dipasang di hadapan rumahnya dicuri, namun semangat seorang petani dari Kampung Pinang, Simpang Empat, di sini untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tetap membara.
Mohd Salleh Mat Lazim, 49, berkata dia reda dengan keadaan itu dan akan tetap menghiasai kediamannya dengan Jalur Gemilang sebagai menyahut seruan kerajaan, walaupun memiliki pendapatan yang tidak seberapa dengan mengusahakan sawah.
“Setakat ini saya sudah membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli 350 bendera dan separuh bendera itu sudah dipasang di hadapan rumah dan di sepanjang Terusan Wan Mat Saman yang terletak di hadapan rumah sejak 1 Ogos lepas.
“Kos itu tidak termasuk membeli tali dan bayar upah pemuda di sini untuk menebang buluh, tetapi ada juga orang yang datang mencuri bendera pada waktu malam hingga saya menanggung kerugian sedangkan semua bendera itu saya beli sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sudah menjadi satu kelaziman pada dirinya sejak 15 tahun lalu untuk menghiasi kediaman dengan kibaran Jalur Gemilang bagi menyerlahkan semangat dan perasaan cintakan negara.
Menurut Mohd Salleh, usaha itu juga bagi mengajak rakyat Malaysia pelbagai kaum mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kediaman mereka sebagai menyatakan penghargaan perjuangan orang terdahulu membebaskan tanah air daripada penjajah.
“Bila sampai bulan Ogos saya tidak boleh duduk diam dan akan rasa sebak bila ingat balik nenek pernah beritahu saya bahawa dia pernah jadi buruh paksa dan nyaris ditikam dengan tentera Jepun selain menjalani hidup yang cukup melarat kerana kurang makan,” kata bapa kepada lima orang anak itu.
Selain memasang pelbagai saiz bendera, Mohd Salleh bersama anak-anaknya merancang untuk membina sebuah pintu gerbang yang dihiasi Jalur Gemilang di hadapan jalan masuk ke rumah mereka.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga bercadang untuk membina sebuah bahtera di Terusan Wan Mat Saman yang diharap boleh menjadi mercu tanda sambutan Bulan Kebangsaan di kawasan itu.
“Sekiranya ada bantuan dalam bentuk bendera daripada pihak-pihak tertentu, saya juga mahu memasang Jalur Gemilang di sepanjang terusan kerana terusan itu ada nilai sejarah dari segi sistem saliran untuk negeri Kedah,” katanya yang turut bersedia membantu mana-mana pihak memasang bendera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial