TAWAU, 9 Ogos (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan tiga cubaan menyeludup keluar barang kawalan di perairan Laut Pelabuhan dan Laut Sungai Haji Kuning dekat sini pada Rabu lepas.
Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali dalam kenyataan di sini, dalam operasi bersepadu itu, dua bot laju (penambang) dan sebuah bot jenis jongkong ditahan kerana membawa muatan barang kawalan iaitu empat tong gas jenama Petronas, dua tong gas jenama MyGaz dan 120kg gula jenama Prai.
"Hasil pemeriksaan terhadap dua juragan tempatan dan seorang juragan warga Indonesia, yang berumur 33 hingga 63 tahun, mereka gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak KPDNHEP atas kesemua barang kawalan yang dibawanya," katanya.
Mohamad Pajeri berkata kesemua juragan ditahan dan bot serta barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM68,260. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam operasi yang sama, Mohamad Pajeri berkata seorang wanita Filipina berumur 28 tahun ditahan kerana disyaki seorang penagih dan pengedar dadah.
Katanya wanita tersebut dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial