KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Syarikat penerbitan, The Edge Communications Sdn Bhd, hari ini memperoleh RM500,000 bagi ganti rugi teladan, tambahan kepada RM11.2 juta ganti rugi bagi kehilangan pendapatan selepas penggantungan dua penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama tiga bulan pada 2015 berkaitan laporan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan The Edge Communications bagi ganti rugi teladan.
"Saya dapati RM500,000 adalah jumlah yang sesuai untuk ganti rugi teladan. Bagaimanapun saya berpendapat bahawa tuntutan pemohon bagi ganti rugi teruk dan ganti rugi perlembagaan tidak sesuai diberikan dalam keadaan kes. Oleh itu, rayuan perayu dibenarkan sebahagiannya dengan kos RM5,000," kata hakim.
Nordin menolak rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan ganti rugi sebanyak RM11.2 juta dibayar kepada syarikat penerbitan itu. Beliau memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 untuk kos.
Dalam penghakimannya, Nordin berkata keputusan timbalan pendaftar bahawa beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai jumlah ganti rugi adalah betul.
"Selain daripada ganti rugi berdasarkan fakta, syarikat penerbitan itu telah menjadi mangsa tindakan yang melulu, sewenang-wenang dan tidak berperlembagaan responden (Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri).
"Penganalisis kewangan berkanun mengesahkan kaedah pengiraan ganti rugi pampasan bagi jumlah RM11.2 juta dalam afidavit adalah betul dan andaian yang dibuat adalah munasabah," kata hakim.
Nordin berkata mahkamah juga mendapati bahawa responden tidak mengemukakan apa-apa bukti untuk mencabar kaedah pengiraan untuk jumlah yang dituntut.
Pada 17 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri selaku responden membayar ganti rugi berjumlah RM11,260,350.00 kepada The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily berikutan penggantungan penerbitan selama tiga bulan sejak 27 Julai 2015.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua reponden supaya membayar faedah sebanyak empat peratus bermula 27 Julai 2015 sehingga penyelesaian penuh kes berkenaan.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Ogos 2017 yang memutuskan bahawa The Edge boleh menuntut ganti rugi daripada Menteri Dalam Negeri untuk kehilangan pendapatan yang dialami berhubung penggantungan dua penerbitannya selepas menolak rayuan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha KDN untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan The Edge menuntut ganti rugi daripada kedua-dua pihak.
Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.
Pada 30 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.
KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015 berkaitan laporannya mengenai isu 1MDB.
Bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Sept 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tersebut.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan penilaian taksiran ganti rugi yang dialami The Edge dibuat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial