AM

ELT lengkapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi cemerlang

18/08/2019 03:26 PM

KOTA KINABALU, 18 Ogos (Bernama) -- Profesional Guru Bahasa Inggeris (ELT) memainkan peranan penting dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi untuk cemerlang di tempat kerja nanti.

Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata oleh itu, profesional ELT memerlukan tahap autonomi tertentu dalam melaksanakan penilaian profesional mereka mengenai apa dan bagaimana untuk mengajar.

“Bagi menghasilkan graduan yang inovatif, pendidik juga perlu menjadi inovatif dalam era global ini, profesional ELT mempunyai beberapa alatan inovatif yang dapat digunakan untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Adalah penting bahawa mereka menggunakan set minda liberal yang menggalakkan penerokaan idea-idea baharu dan pemikiran di luar kotak semasa mengendalikan kelas, latihan, perundingan dan penyelidikan.

“Bagaimanapun, guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar khususnya di Sabah, mereka menghadapi cabaran dalam melaksanakan kaedah pengajaran kreatif dan inovatif dengan sumber yang terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Persidangan Antarabangsa Malaysia ke-6 mengenai Strategi Akademik dalam Pengajaran Bahasa Inggeris (My_CASELT) 2019 dan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk Bahasa ke-3 (LIID) 2019 di sini.

Dr Yusof yang juga Penaung My_CASELT 2019 berkata mereka (guru di luar bandar) perlu menjadi kreatif dalam kaedah pengajaran untuk mengekalkan kepentingan milenium.

“Wawasan Malaysia untuk mengubah daripada sebuah negara berpendapatan sederhana ke berpendapatan tinggi bergantung kepada kebolehan rakyatnya untuk memulakan, menggaji dan mengeksploitasi idea untuk memacu dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata satu daripada inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia adalah pembangunan Ekosistem Inovasi bertujuan melengkapkan graduan dengan aspirasi dan kebolehan menghasilkan cara-cara baharu, kreatif dalam melakukan sesuatu dan menyelesaikan masalah.

My_CASELT 2019 dan LIID 2019 dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Shah Alam dan Sabah, bertujuan menyediakan peluang dan kerjasama pelbagai disiplin yang akan mewujudkan penyelidikan dan inovasi yang berdaya saing untuk dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan