BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

Letupan disebabkan kebocoran gas

19/08/2019 12:15 AM

GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) -- Letupan yang berlaku di sebuah rumah di tingkat 20 Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong dekat sini sehingga menyebabkan seorang warga emas mengalami kecederaan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas dan percikan api pemetik api.    

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata letupan itu mengakibatkan seorang lelaki, Lee Kok Eang, 62,  cedera dan melecur kira-kira 80 peratus dalam kejadian kira-kira 8.16 pagi tadi.

"Pemeriksaan dan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mendapati berlaku kebocoran pada kepala dan hos penyambung tong gas sehingga menyebabkan gas bocor serta memenuhi ruang kediaman tersebut.

"Letupan kuat itu berlaku sewaktu warga emas berkenaan mahu menyalakan api rokoknya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan dalam keadaan stabil manakala anak lelaki dan isteri serta anak mereka yang turut berada dalam rumah semasa kejadian tidak mengalami kecederaan. 

Che Zaimani berkata menurut maklumat daripada anak mangsa, Lee Chye Soon, 38,  ketika kejadian dia dan isteri serta anak sedang tidur di dalam bilik manakala bapanya berada di ruang tamu menonton televisyen.

Katanya anak lelakinya terdengar bunyi letupan kuat dan sebaik keluar dari bilik dia melihat bapanya cedera dengan pemetik api dan rokok berada berhampirannya.

"Anak mangsa turut memaklumkan dia terhidu bau gas yang kuat dan meluru ke dapur dan terus mencabut kepala hos tong gas berkenaan," kata lelaki itu yang tinggal di rumah berkenaan bersama bapanya sejak 15 tahun lepas.

Sementara itu, Chye Soon yang ditemui berkata beliau bersyukur kerana isterinya yang kini hamil tujuh bulan dan anak lelaki mereka  tidak cedera dalam kejadian letupan berkenaan.

"Nasib baik keadaan ayah juga tidak kritikal dan dia kini dirawat di HPP. Saya langsung tidak menyangka akan berlaku letupan sebegitu kuat sehingga merosakkan sebahagian rumah," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan