IZMIR (Turki), 20 Ogos (Bernama) -- Kebakaran hutan memusnahkan lebih 500 hektar tanah di Izmir, lapor agensi berita Anadolu, memetik kenyataan pegawai pada Isnin.
Pada Ahad, kebakaran berlaku di empat kawasan berbeza termasuk dua di wilayah Mugla, barat daya negara itu dan kawasan di Izmir.
Menteri Pertanian dan Perhutanan, Bekir Pakdemirli, berkata kebakaran di daerah Karabaglar, Izmir sehingga kini sudah memusnahkan kira-kira 500 hektar hutan dan bomba masih berhempas pulas memadam api yang marak.
Kebakaran di Urla, juga di Izmir berjaya dipadamkan dan usaha sedang dilakukan bagi mencegah kebakaran kembali berlaku, kata Pakdemirli.
Beliau berkata, kebakaran di Bodrum dan Milas di Mugla kebanyakannya sudah dipadamkan oleh 1,500 anggota bomba.
Sebanyak 24 helikopter, 280 lori tangki dan 35 jentolak digunakan dalam operasi berkenaan.
Penduduk di beberapa perkampungan turut dipindahkan dan empat kediaman hampir musnah dijilat api, kata menteri itu.
Beliau menekankan, Turki adalah antara negara yang mempunyai pasukan bomba terbaik tetapi ia perlu meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk berhubung isu itu.
“Kebakaran kebiasaannya berlaku akibat kecuaian," katanya sambil menjelaskan, kebakaran yang berlaku itu memudaratkan hidupan liar dan memusnahkan tanaman dan pokok.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial