Tabiat Membazir Rakyat Malaysia Sekat Usaha Pulih Alam Sekitar [ 24m ago ]

Kutip lebih satu tan sampah dalam satu jam

Tarikh kemaskini: 24/08/2019


KUANTAN, 24 Ogos -- Lebih satu tan sampah dikutip dalam tempoh satu jam aktiviti 'Beach Plogging' anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) di Pantai Sepat di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, Bank Islam memperuntukkan RM30,000 bagi pelaksanaan program itu yang bertujuan mendidik orang ramai akan kepentingan menjaga alam sekitar.

Ia juga sebahagian daripada tangggungjawab sosial korporat yang dinamai AMAL yang melibatkan empat komponen iaitu alam, sosio ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

"Peruntukan ini juga melibatkan pembinaan lima buah buaian dan enam unit bangku santai bagi kemudahan pengunjung ke pantai kedua terpanjang di Kuantan ini.

"Kita turut mengunjungi tiga rumah penduduk asnaf sekitar Kampung Pantai Sepat bagi menyampaikan bantuan yang disalurkan melalui peruntukan zakat oleh Bank Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di sini, hari ini.

Mohamed Iran Moriff berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora Sdn Bhd.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda.

Program itu disertai 500 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Bank Islam dan pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), Kolej Vokasional Kuantan, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu