AM

Shamsubahrin mohon maaf kepada rakyat Indonesia berhubung isu Gojek

29/08/2019 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- Pengasas Big Blue Taxi Services Datuk Shamsubahrin Ismail hari ini memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Indonesia ekoran kenyataannya yang membangkitkan kemarahan rakyat negara itu terutama para penunggang Gojek selepas menggelar mereka miskin.

Dalam satu sidang media yang diadakan di pejabatnya di Kuala Lumpur pada Rabu, Shamsubahrin menjelaskan yang beliau telah dihubungi oleh ramai pihak berkaitan kenyataannya  itu.

"Hari ini saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia kerana telah melabel anda miskin. Tetapi dalam masa sama saya juga memperingatkan negara kita, kerajaan kita, sekiranya anda ingin membawa masuk Gojek ke Malaysia, dipersilakan, saya tiada masalah cuma keselamatan penumpang kena jaga baik baik," kata beliau.

Jelasnya, kenyataan beliau itu dibuat hanya berdasarkan laporan media Indonesia berkenaan taraf ekonomi rakyat republik itu dan tidak berniat untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan mereka.

Kenyataan Shamsubahrin itu mengundang kemarahan pemandu Gojek Indonesia yang menganggapnya sebagai satu penghinaan terhadap mereka.

Semalam beberapa laporan media tempatan Indonesia  memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata, mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Menurut Igun, jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.

Berdasarkan satu video yang viral di Indonesia, Shamsubahrin Ismail membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan negara Indonesia.

“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.

Isu Gojek menarik perhatian rakyat Malaysia selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu di sini. 

Pada Rabu lepas, Menteri Pembangunan dan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof memberitahu media bahawa Kabinet bersetuju dengan cadangan mewujudkan perkhidmatan Gojek itu dan jemaah menteri memutuskan agar kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Diasaskan oleh Nadiem Makarim, 35, yang kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat rangkai­an pengangkutan dan start up itu, Gojek adalah kebanggaan Indonesia, bukan hanya sekadar perkhidmatan pengangkutan penumpang menggunakan motosikal.

Di Indonesia, bagi tiga bulan pertama tahun ini, aplikasi Gojek telah dimuat turun lebih da­ripada 142 juta kali, dengan lebih daripada dua juta rakan kongsi pemandu.

Pada tahun lalu, Gojek mencatatkan nilai transaksi kasar (GTV) lebih AS$9 bilion (RM37.7 bilion) di semua negara operasinya, dan menjadikannya kumpulan teknologi pengguna terbesar di Asia Tenggara berdasarkan GTV.

Gojek kini juga beroperasi di Singapura, Filipina, Thailand (dikenali sebagai GET) dan Vietnam (dikenali sebagai Go­Viet).

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan