KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- KNM Group Bhd (KNM) mengumumkan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Borsig GmbH dan Borsig ZM Compression GmbH (BZM) menandatangani perjanjian untuk menjual seluruh kepentingan ekuitinya dalam BZM kepada Borsig ZM Schweiz AG dan Iskra-Neftegaz Compressor LLC pada harga tunai €28 juta (RM130.76 juta).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KNM berkata penjualan itu dilaksanakan dengan mengambil kira produk keseluruhan Borsig dan strategi mengimbangi semula perniagaan selain melabur dalam peluang pertumbuhan pada masa depan bagi perniagaan sedia ada.
“Walaupun pasaran peralatan pemampat mencabar pada masa kini, Borsig yakin ada potensi kenaikan jangka panjang bagi pasaran pemampat sebaik sahaja halangan perdagangan global semasa mulai normal dalam jangka sederhana.
“Oleh itu, keputusan yang baik untuk meneruskan penjualan itu dan menggunakan hasil berkenaan untuk memperkukuh lembaran imbangan bagi memajukan perniagaan Borsig dan KNM, selain meningkatkan pendapatan dan keberuntungan kedua-dua syarikat secara keseluruhan,” menurut KNM.
Hasil berkenaan akan digunakan segera untuk membayar semula pinjaman pemegang saham kepada KNM dan membiayai perbelanjaan sampingan bagi penjualan yang dicadangkan, katanya.
Sebaik penjualan itu selesai, BZM tidak akan menjadi syarikat subsidiari Borsig GmbH dan anak syarikat milik penuh tidak langsung KNM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial