EKONOMI

Sime Darby Plantation keluar Liberia menjelang hujung tahun

30/08/2019 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Sime Darby Plantation Bhd merancang untuk keluar dari Liberia menjelang akhir tahun selepas berada di negara itu untuk kira-kira sedekad. 

Pengarah Pengurusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata syarikat sekarang ini sedang dalam perbincangan dengan tiga pihak yang berminat untuk mengambilalih konsesi selama 63 tahun kumpulan itu. 

“Jika kami tidak dapat mencapai persetujuan bersama dengan mereka menjelang akhir tahun ini, kami akan menyerah kembali konsesi tersebut kepada kerajaan Liberia. Kami merancang untuk keluar dari Liberia dengan penuh tanggungjawab. 

“Liberia adalah sebuah negara yang tidak ramai pelabur dan peluang kerja agak kurang (bagi penduduk setempat),” katanya dalam satu taklimat media mengenai keputusan suku kedua tahun kewangan kumpulan di sini hari ini.

Sime Darby Plantation adalah antara pelabur terbesar di Liberia. 

Oleh itu, ia mahu memastikan pihak yang mengambil alih konsesi akan turut bertanggungjawab terhadap kakitangan. 

“Kami mempunyai komuniti yang hidup dalam kawasan perladangan (di Liberia) yang amat bergantung kepada kami.

"Jadi, apabila kami meninggalkan mereka, kami mahu memastikan bahawa apa-apa perkara yang baik yang kami lakukan selama ini akan terus memberi manfaat kepada mereka,” katanya. 

Konsesi itu, yang bermula pada 2009, merangkumi 220,000 hektar tanah di Grand Cape Mount,  Bomi, Gbarpolu dan Bong, tanah-tanah ini telah dianugerahkan oleh kerajaan Liberia untuk dibangunkan sebagai ladang-ladang getah dan kelapa sawit.

Setakat ini, kira-kira 10,400 hektar telah dibangunkan menjadi lima ladang merangkumi Matambo, Grand Cape Mount, Zodua, Bomi dan Lofa, di mana 10,280 hektar telah digunakan bagi kawasan kelapa sawit dan 121 hektar untuk penanaman getah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Oils Mohd Haris Mohd Arshad berkata keputusan India untuk meningkatkan cukai import ke atas minyak sawit Malaysia tidak akan menjejaskan kumpulan itu.

“Jika anda melihat apa yang kami hantar ke India, (sekarang ini) ia berjumlah antara 1.2 juta dan 1.3 juta tan minyak sawit setahun yang terdiri daripada kombinasi produk Indonesia dan Malaysia. 

“Tahun ini, kebanyakannya datang dari Malaysia tetapi pada tahun lepas, banyak yang diimport dari Indonesia. Jadi, jika ada perubahan duti, yang akan menjadikan Malaysia tidak berdaya saing, kemungkinan besar kami akan membuat penghantaran dari Indonesia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan