MELAKA, 8 Sept -- Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik dalam penggunaan peranti digital bagi mengelak anak-anak mereka menjadikan peralatan itu sebagai medium rujukan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka Low Chee Leong berkata ini kerana fenomena ibu bapa hari ini yang lebih banyak meluangkan masa mengakses internet atau bermain permainan di telefon pintar menyebabkan aktiviti bersama keluarga makin berkurangan.
"Dunia semakin moden dan canggih namun kualiti kehidupan manusia semakin terjejas disebabkan terlalu terdedah atau tertumpu pada penggunaan telefon pintar atau media sosial.
"Ibu bapa perlu lebih meluangkan masa dan berkomunikasi dengan anak-anak dan tidak memberikan gajet kepada mereka untuk menenangkan mereka jika menangis atau sebagai pengganti permainan yang seharusnya diberikan kepada anak kecil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan 'Run for Peace 2019' anjuran Soka Gokkai Malaysia Cawangan Melaka di Padang Dewan Tun Ali di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan menzahirkan kebimbangan dengan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.
Mengulas lanjut, Low berkata penggunaan internet yang terlalu lama mendedahkan anak-anak pada pelbagai maklumat atau perkara yang tidak sihat.
Beliau berkata pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah boleh dilakukan ibu bapa bersama anak mereka bagi mengelak mereka mengakses internet terlalu lama.
"Anak-anak yang terdedah terlalu lama dengan dunia maya juga akan memberi kesan pada kemahiran komunikasi dan pergaulan mereka dengan orang sekeliling sehingga mereka tanpa sedar membentuk dunia mereka sendiri," katanya.
Mengulas mengenai acara larian itu, beliau berkata larian sejauh kira-kira 8.3 kilometer itu disertai lebih 5,000 peserta daripada pelbagai peringkat umur dan kaum diadakan dua tahun sekali bagi mempromosikan keamanan dalam masyarakat.
"Soka Gokkai Malaysia ialah pertubuhan bukan kerajaan yang menekankan nilai kebudayaan dan pendidikan bertujuan menyebarkan budaya keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat. Larian ini diadakan serentak seluruh negara hari ini dan ia disertai lebih 111,000 peserta," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial