KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Pasukan Sepang Racing Team (SRT) mengumumkan barisan pelumbanya untuk saingan julung kalinya Kejohanan 8 Hours Sepang FIM Endurance World Championship (EWC) dari 13 sehingga 15 Disember ini.
Menurut kenyataan pasukan itu, pelumba MotoGP dan bekas juara Moto2 World Franco Morbidelli, pemenang pelbagai kejohanan 8 Hours Suzuka Michael van der Mark serta bintang pelumba tempatan Hafizh Syahrin Abdullah akan berganding dengan jentera Yamaha YZF-R1 untuk memikul tugas mewakili pasukan tuan rumah itu.
Bertanding buat kali pertama dalam perlumbaan endurance, tapi dengan sokongan bekas Juara Kejohanan Endurance Dunia pasukanYamaha Austria Racing Team (YART), pasukan SRT akan bekerja keras untuk mengungguli saingan kejohanan endurance di bawah lampu limpah canggih Litar Sepang Antarabangsa Sepang itu nanti.
Melihat kepada rekod Morbidelli dalam kejohanan MotoGP World Championship bersama PETRONAS Yamaha SRT, kepantasannya memang tidak dapat dinafikan lagi, walaupun ia merupakan penampilan sulungnya dalam kejohanan endurance.
Pelumba kelahiran Itali-Brazil yang sudah biasa dengan litar Sepang dan jentera YZF-R1 itu dilihat cukup teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya pernah berlatih dengan YZF-R1 sebelum ini, jadi sudah ada idea mengenai apa yang boleh dijangka, namun saya pasti superbike endurance akan berbeza,” kata Morbidelli.
Sementara itu kehadiran pelumba dari Belanda Michael van der Mark menambah lagi kehebatan pasukan itu, bukan sahaja kerana pernah memenangi perlumbaan Yamaha World Superbike, tetapi juga sebagai salah seorang pelumba paling berjaya dalam sejarah perlumbaan Suzuka 8 Hours.
Sebagai pemenang empat kali dalam perlumbaan berprestij arena lumba motosikal itu, ketahanannya memang tidak dapat dinafikan lagi.
"Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan dengan pengalaman yang saya miliki, kerana kita berjuang untuk capai kejayaan. Kita ada pasukan yang kuat, tapi kita juga perlu bijak dan konsisten, kerana pastinya matlamat akhirnya adalah kemenangan di tempat sendiri,” katanya.
Pelumba tempatan Hafizh Syahrin juga memang tidak asing kepada litar Sepang, menjadi veteran dalam banyak perlumbaan pelbagai kelas.
"Saya memang tidak sabar lagi untuk menyertai perlumbaan ini. Ia bukan perlumbaan endurance pertama saya kerana saya pernah berlumba dalam Suzuka 8 Hours sebelum ini, tapai ia pastinya berbeza kali ini apabila berlumba di tempat sendiri,” katanya.
Sementara itu Ketua pasukan SRT Datuk Razlan Razali berkata mereka amat teruja untuk berlumba dalam saingan 8 Hours Sepang buat julung kalinya, kerana ia juga sebenarnya cara terbaik untuk menyokong kempen Melawat Malaysia 2020.
Dalam bekerjasama dengan Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020, acara perlumbaan ini akan memanfaatkan hashtag #RoadToMalaysia bagi menyokong inisiatif itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial