MOGADISHU, 12 Sept (Bernama) -- Sekurang-kurangnya lima orang, termasuk kanak-kanak, terbunuh manakala beberapa lagi cedera apabila sebutir periuk api meletup di Dinsor yang terletak di barat daya Somalia, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pegawai pada Khamis.
“Serangan itu berlaku berhampiran balai polis Dinsor pada petang Rabu, dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang maut termasuk dua kanak-kanak dan tiga anggota tentera serta mencederakan beberapa yang lain,” kata anggota polis tempatan Ibrahim Madey kepada Anadolu.
Mangsa yang cedera dihantar ke sebuah hospital serantau di Baidoa.
Pesuruhjaya Daerah Dinsor Ibrahim Mohamed Nour, juga dikenali sebagai Shigahigow, mengesahkan kepada media tempatan bahawa periuk api itu ditanam berhampiran balai polis terbabit.
Tiada kumpulan tampil mengaku bertanggungjawab atas letupan itu namun kumpulan sekutu al-Qaeda yang berpangkalan di Somalia, al-Shabaab, mengaku melancarkan serangan mortar pada Rabu di Mogadishu, yang menyebabkan seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial