Industri buluh secara kluster bermula tahun hadapan - Teresa Kok [ 9m ago ]

Kajian Dasar Keselamatan Siber Negara kini di peringkat akhir - Wan Azizah

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kini di peringkat akhir mengkaji Dasar Keselamatan Siber Negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dasar itu akan berfungsi sebagai pelan lima tahun Malaysia dalam menangani keselamatan siber, merangkumi pelbagai pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta di Malaysia.

"Strategi ini akan direalisasikan melalui mobilisasi sumber manusia dan pembangunan infrastruktur yang memberi tumpuan kepada penciptaan Tenaga Kerja Keselamatan Siber Negara untuk memastikan penggunaan sumber dan kepakaran sedia ada secara optimum.

"Kerajaan akan bekerjasama dengan entiti sektor swasta untuk meningkatkan pemahaman mengenai risiko keselamatan siber, menggalakkan lebih banyak keputusan pengurusan risiko, dan menyokong pelaburan dalam langkah keselamatan yang sewajarnya," katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian pada Persidangan Keselamatan Siber, Bandaraya Pintar dan e-Kerajaan; Perkongsian Pengalaman Rusia, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata bukan menokok-tambah untuk menyatakan bahawa serangan siber berpotensi untuk melumpuhkan fungsi perniagaan atau infrastruktur kritikal yang banyak memberi risiko kepada pengendalinya.

"Impak ketidaksediaan atau gangguan dalam satu infrastruktur kritikal boleh menyebabkan kesan berantai kepada perkhidmatan yang kita bersandar," katanya.

Beliau juga berkata keupayaan untuk menyediakan “trust” dalam persekitaran siber adalah faktor kejayaan bagi "kerajaan pintar" dan ia hanya boleh dibina dengan mengukuhkan keselamatan siber di peringkat nasional.

Oleh itu, katanya negara perlu memperkenalkan pengesahihan yang kukuh dan pelbagai peringkat serta teknologi keselamatan mesra pengguna yang menangani risiko tingkah laku biasa manusia yang kebiasaannya akan mencetuskan insiden keselamatan siber.

"Sebaik sahaja ancaman bersama ditangani, ini akan memberi lebih tumpuan kepada ancaman yang lebih sophistikated kepada negara," katanya.

Wan Azizah berkata beliau juga yakin bahawa melalui perancangan dan strategi yang betul, industri keselamatan siber boleh berkembang dan makmur di Malaysia, menjadikan keselamatan siber sebagai salah satu vertikal ekonomi penting yang dapat membuka lebih banyak peluang untuk kemakmuran negara.

Terdahulu, beberapa organisasi Malaysia dan Rusia menandatangani lima dokumen untuk secara formal menjalin kerjasama dalam bidang keselamatan siber, bandar pintar dan e-kerajaan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu