AM

'Tinggi-tinggi si matahari' johan Festival Teater Malaysia Perlis 2019

30/09/2019 12:52 PM

KANGAR, 30 Sept -- Kumpulan Malice Ventures, yang dianggotai bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, muncul johan Festival Teater Malaysia 2019 peringkat negeri Perlis, malam tadi.

Lebih menarik, kumpulan yang menyampaikan naskah bertajuk ‘Tinggi-tinggi Si Matahari’ ciptaan Bidin Subari itu menyapu bersih kesemua enam anugerah sampingan iaitu Pengarah Terbaik, Sinografi Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik serta Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik.

Pengarah yang juga ketua kumpulan tersebut, Azrin Safuan Che Aziz, 26, berkata mereka tidak menyangka hanya berbekalkan tempoh seminggu berlatih membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, trofi dan sijil.

"Ini merupakan percubaan kedua kumpulan kami selepas kali pertama mencuba nasib pada Festival Teater di Kuala Lumpur tahun lepas. Tak sangka nasib menyebelahi kami. Ada antara kami ini berlainan negeri, tetapi manfaatkan peluang di Perlis berlatih dengan bersungguh-sungguh,” katanya kepada Bernama.

Kumpulan IndraSutra dari Universiti Malaysia (UniMAP) merangkul Naib Johan menerusi naskah Di Mana Bulan Selalu Retak manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Pentas Digma dari UiTM Perlis menerusi naskah Asam.

Kedua-dua kumpulan itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan RM800 beserta trofi dan sijil yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Perlis Azman Mohd Yusof dan Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Abu Bakar Katar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rahmat Mat Noh ketika ditemui Bernama berkata empat kumpulan bertanding dan kumpulan yang dinobatkan johan akan bertanding sekali lagi bersama 14 kumpulan dari seluruh negara.

Katanya kesemua 14 kumpulan akan berentap merebut enam lagi tempat bagi melayakkan untuk bertanding pada Festival Teater Malaysia 2020 peringkat kebangsaan nanti.

“Kita akan bersama kumpulan Malice Ventures perbetulkan dan asah mereka untuk menjadi lebih baik dan kita berhasrat untuk mengulangi kejayaan seperti naskah Mat Derih Kola Perlis yang memenanginya pada tahun lepas,” kata Rahmat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan