CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 4h ago ]

Pemain industri PKS perlu berani mulakan langkah IR 4.0

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
Laporan eksklusif oleh Wan Nadia Khairani Wan Chik

KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu melihat Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sebagai 'naratif nasional' yang didorong oleh penggemblengan usaha secara berperingkat dan konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus berkata ini memandangkan kesedaran mengenai kepentingan mengubah cara kerja dan produktiviti berteraskan teknologi dan inovasi masih rendah dengan hanya segelintir syarikat PKS yang berani mengorak langkah ke arah platform IR 4.0.

Malah, dari segi permohonan Penilaian Kesediaan Industry4WRD, pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hanya menerima 600 permohonan berbanding lebih 80,000 syarikat PKS yang berdaftar di negara ini.

"Walaupun sedemikian, kita boleh menerangkan kepada mereka bahawa langkah ke arah IR 4.0 ini harus dimulakan sekarang meskipun kita tidak memiliki kandungan teknologi yang tinggi.

"Apa yang penting mereka mesti memiliki aspirasi atau wawasan untuk meningkatkan kemampuan syarikat masing-masing. Sebab itu MTDC mencadangkan kepada kepada mereka untuk memilih salah satu teras paling mudah untuk diamalkan dalam hab Industri 4.0, Centre of 9 Pillars (Co9P)," katanya kepada Bernama Radio pada Persidangan dan Pameran Teknologi MTDC (MTCE) 2019 di sini, hari ini.

Norhalim juga mengingatkan pemain industri PKS bahawa perubahan ke arah IR 4.0 boleh dilakukan secara berperingkat serta mengikut kemampuan modal dan tenaga kerja syarikat.

"Bagi sesebuah syarikat PKS misalnya, mereka mungkin boleh memulakan proses atau migrasi ke arah automasi. Jika sudah memiliki mesin, mereka boleh meletakkan pengesan, atau mengumpul dan memproses data.

"Proses ke arah IR 4.0 ini sebenarnya tidak sukar. Ia satu perjalanan, satu marathon yang perlu dimulakan dengan langkah kecil dan yang penting usaha ke arah matlamat itu perlu ada," katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga tidak semestinya melibatkan peralatan mesin, robotik atau inovasi yang berkos tinggi, sebaliknya perlu disesuaikan dengan kemampuan syarikat dan pada masa sama dapat mengoptimumkan produktiviti.

"Tiada maknanya kalau kita ambil inovasi paling canggih pun namun tidak dapat digunakan. Mereka perlu memilih peralatan atau sistem teknologi yang optimum, mampu milik dan boleh diinovasikan lagi dalam jangka panjang untuk perniagaan masing-masing.

"Kita juga menggalakkan usahawan PKS untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta agensi berkaitan inovasi untuk memanfaatkan teknologi dan inovasi sedia ada," katanya.

Menurut Norhalim, amalan cara kerja berteraskan IR 4.0 juga harus mengimbangi kepentingan penggunaan peralatan pintar yang selari dengan modal insan yang berkemahiran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, Naguib Mohd Nor berkata langkah pertama perubahan minda berteraskan IR 4.0 harus dimulakan di peringkat kepimpinan dan pengurusan syarikat PKS.

"Ia juga bergantung kepada kaedah pengurusan modal insan sesebuah syarikat PKS. Seringkali modal insan dilihat sebagai elemen kos berbanding aset syarikat dan cara pemikiran sedemikian perlu diubah sepenuhnya.

"Kini syarikat aeroangkasa seperti Airbus dan Boeing telah mula meletakkan keutamaan kepada modal insan berkepakaran tinggi sebagai pemacu aplikasi IR 4.0. Apa yang mereka mahukan dalam rantaian bekalan kini adalah pembekal yang memiliki modal insan berkepakaran tinggi, kreatif, inovatif dan mampu memenuhi kriteria pasaran yang kompleks," katanya.

Naguib merupakan antara panel persidangan yang membincangkan topik Penjanaan Dasar Kreatif, Disruptif dan Inovatif untuk IR 4.0.

Seramai 500 peserta mewakili agensi kerajaan, syarikat-syarikat PKS, institusi pengajian tinggi dan pelbagai organisasi berkaitan hadir pada acara dua hari bermula hari ini.

Persidangan anjuran MTDC itu juga bertujuan membolehkan usahawan PKS lebih bersedia menghadapi gelombang IR 4.0 dan meninjau peluang luas bagi mengembangkan potensi pasaran masing-masing.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu