AM

UMPH tekad tolak salah guna kuasa, rasuah

02/10/2019 04:02 PM

KUANTAN, 2 Okt -- Anak syarikat Universiti Malaysia Pahang, UMP Holdings Sdn Bhd dan Kumpulan (UMPH) tekad tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan berunsurkan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah, tegas Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman. 

Beliau berkata peringatan itu bukan hanya untuk warga kerja UMPH, tetapi juga melibatkan pembekal, pemegang lesen, pelanggan dan pihak berkepentingan dengan UMPH, selari dengan pendirian mereka sebagai organisasi mengamalkan budaya integriti tinggi. 

"Kita perlu melihat gejala rasuah dan salah guna kuasa dan yang seumpamanya sebagai parasit yang jika dibiarkan berkembang boleh merencatkan pertumbuhan sesebuah organisasi. Walaupun bermula dengan sekecil perbuatan, ia boleh membawa kesan negatif yang amat besar.  

"Semua kerja yang melibatkan UMPH adalah dipastikan mengikut prosedur yang betul dan sepatutnya… jika ada pihak yang sudah mempunyai niat mahu mencari jalan mudah, saya nasihatkan lupakan sahaja untuk berurusan dengan kami," katanya. 

Syed Mohamad Hamzah Al-Junid berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai 400 kakitangan UMPH melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan disaksikan Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid di Kompleks UMPH di sini, hari ini. 

Pembudayaan integriti yang tinggi, menurut Syed Mohamad Hamzah Al-Junid merupakan perkara yang dititikberatkan dalam diri warga kerja UMPH kerana disifatkan sebagai asas kepada penyampaian perkhidmatan berkualiti.  

Sehubungan itu, UMPH mengiktiraf warga kerjanya yang menunjukkan integriti dan etika yang tinggi, selain menjalin kerjasama dengan SPRM bagi meningkatkan saluran aduan selamat untuk kakitangan dan pihak yang terlibat melaporkan salah laku rasuah tanpa tekanan dan takut. 

"Kita juga akan mengukuhkan sistem dalaman bagi menyokong pencegahan rasuah melalui pembangunan program dan latihan bersesuai selain menggerakkan audit dalaman yang dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak penyalahgunaan kuasa, dana dan aset organisasi," katanya. 

Sementara itu, Sheikh Hamadi berkata pihaknya akan menggiatkan usaha untuk menimbulkan kesedaran kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang untuk menandatangani IBR sebagai komitmen mereka untuk turut sama membanteras rasuah. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan