EKONOMI

MyCC cadang Grab didenda RM86.7 juta babitkan akta persaingan

03/10/2019 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencadangkan supaya syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Inc (Grab) didenda sebanyak RM86.7 juta kerana melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 secara kolektif.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata suruhanjaya itu turut mencadangkan Grab dikenakan penalti kewangan harian sebanyak RM15,000 mulai hari ini selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya.

"Kami dapati Grab telah menghalang pemandunya daripada mempromosi dan menawarkan perkhidmatan pengiklanan untuk pesaing Grab dalam pasaran e-hailing dan pengiklanan media transit.

"MyCC mencadangkan untuk mengenakan penalti kewangan sebanyak RM86,772,943.76 terhadap Grab serta penalti harian sebanyak RM15,000 daripada tarikh cadangan keputusan itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCC di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Iskandar berkata klausa-klausa sekatan itu telah memberi kesan dari segi menjejaskan persaingan dalam pasaran relevan yang berteraskan platform pelbagai dengan mewujudkan sekatan bagi penyertaan dan pengembangan untuk pesaing Grab yang sedia ada dan di masa depan.

Di bawah Seksyen 10 Akta tersebut, sesebuah syarikat dihalang daripada terlibat, sama ada secara bebas atau kolektif dalam sebarang tingkah laku yang membawa kepada salah guna kedudukan dominan dalam sebarang pasaran bagi barangan atau perkhidmatan.

Bagaimanapun, Iskandar berkata keputusan untuk mendenda Grab masih belum muktamad kerana syarikat itu diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi atau pembelaan kepada MyCC.

"Suruhanjaya itu kemudiannya akan membuat keputusan akhir di bawah Seksyen 39 atau 40 Akta itu selepas menimbang representasi itu dan kesemua maklumat dan bukti (berkaitan)," katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan, MyCC juga akan terus memantau Grab bagi sebarang kemungkinan perlakuan anti-persaingan selepas ia mengambil alih perniagaan pesaing terdekatnya, Uber Technologies Inc di Asia Tenggara pada Mac tahun lepas.

Selain itu, Isksandar berkata MyCC juga bercadang meminda undang-undang sedia ada untuk turut memasukkan aspek penggabungan dan pengambilalihan.

"Malaysia atau MyCC tidak mempunyai kuasa penggabungan sepertimana di Singapura dan Filipina.

"Bagaimanapun, sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sebarang pindaan atau penambahbaikan terhadap undang-undang itu perlu melalui kementerian," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan