AM

ICDM kaji kemungkinan wujudkan pensijilan rasmi untuk pengarah

04/10/2019 12:32 AM

Laporan Eksklusif Oleh: Thivyamalini Ramalu

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) mahu bekerjasama dengan pihak pengawal selia bagi meneliti kemungkinan mewujudkan pensijilan rasmi untuk pengarah di negara ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michele Kythe Lim berkata usaha menerusi pelan lima tahun akan datang ICDM sememangnya penting memandangkan aspek tadbir urus korporat (CG) bukanlah sesuatu yang statik dan berubah seiring perkembangan masa.

“Kita perlu bekerjasama dengan pengawal selia untuk melihat sama ada perlu diwujudkan pensijilan rasmi untuk pengarah iaitu mereka dinilai sebagai profesional sepertimana di United Kingdom (UK) yang mempunyai (kategori) pengarah bertauliah.

“Sebagai seorang profesional, anda perlu mempunyai pensijilan rasmi, (pengarah) juga perlu sentiasa bersedia dan dapat memberi respon terhadap perubahan persekitaran perniagaan," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini, hari ini.

Lim berkata ICDM juga sentiasa berbincang dengan pihak pengawal selia dan kalangan dalam ekosistem in dalam usaha menambah baik sektor komuniti pengarah.

ICDM yang juga institusi sehenti profesional pengarah yang baru ditubuhkan, diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Bursa Malaysia telah dilancarkan secara rasmi pada 1 Okt, 2018.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata Malaysia juga telah mencatat banyak kemajuan tadbir urus sebagaimana dibuktikan menerusi laporan Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA) 2018 - laporan serantau yang menyenaraikan Malaysia di kedudukan lebih baik iaitu tempat keempat berbanding ketujuh pada 2016.

"Laporan itu juga menyifatkan kerangka kawal selia sebagai amat baik selain CG, peraturan dan pengawal selia audit yang bagus. (Malah) dari segi itu, kita berada pada kedudukan membanggakan namun masih memerlukan penambahbaikan dalam aspek penguatkuasaan.

“Apabila membincangkan aspek penguatkuasaan, ini menyentuh soal seperti dagangan dalaman atau urus niaga dalaman misalnya dan kita mahu melihat usaha (membabitkan) lebih banyak pihak berkuasa dilakukan...tidak hanya satu kes setahun dan penguatkuasaan itu perlu dilakukan secara kerap dan berterusan," katanya.

Menyentuh kerjasama ICDM dengan negara-negara lain, Lim berkata pihaknya telah berurusan dengan beberapa negara di rantau ini selain Australia dan UK.

“Kita mahu berusaha untuk memastikan ASEAN dapat muncul sebagai jaguh dalam aspek tadbir urus sepertimana Australia dan meninjau peluang untuk menawarkan program ke negara-negara sedang membangun seperti Bangladesh dan Afrika. Pada masa sama, ICDM turut mempelajari model diamalkan negara lain yang diselaraskan dengan persekitaran negara ini," katanya.

Malah, seiring usaha mewujudkan ekosistem lebih cemerlang dalam dunia pengarah, ICDM akan menganjurkan Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa (IDS) pada 14-15 Oktober ini.

Acara julung kali itu akan menghimpunkan para pemimpin dan pengarah korporat global untuk mewujudkan jaringan, kerjasama, saling bertukar pandangan serta mereka yang berfikiran hebat dalam soal tadbir urus bagi menangani isu penting berkaitan pada masa ini.

Lim berkata menerusi sidang kemuncak itu, ICDM menyasarkan untuk menggalakkan suara komuniti pengarah ASEAN turut didengari.

“Kita mahu melihat bagaimana sumber ASEAN serta kalangan pengarah rantau ini dan bahagian lain dunia, dapat digerakkan secara bersama.

“Saya juga dapati UK dan Australia misalnya turut menyasarkan ASEAN kerana mencatat pertumbuhan memberangsangkan baru-baru ini. Mereka melihat kepada bakat kepengarahan kerana memerlukan barisan pengarah yang mahir," katanya.

Acara dua hari bertemakan ‘The Trust Compass: Resetting The Course,’ akan turut membabitkan sesi perbincangan yang disertai pengarah terkemuka di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://www.icdm.com.my/ids2019/?utm_source=bnm&utm_medium=ids2019, atau menghubungi 03-22022022 (David Bareng/Khabir) selain e-mel kepada marketing@icdm.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan