EKONOMI

Perang dagangan tidak jejas pelaburan Qatar di ASEAN, Malaysia

09/10/2019 09:41 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 9 Okt  -- Qatar akan meneruskan dagangan dan pelaburan ke negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia walaupun dalam persekitaran perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, kata Menteri Perdagangan dan Industrinya, Ali Ahmed Al-Kuwari.

Ketika memberi jaminan itu, beliau berkata ini berikutan Qatar tidak terjejas akibat pertikaian perdagangan berkenaan.

“Kami tidak terjejas akibat perang perdagangan itu. Malah, kami akan berusaha lebih gigih untuk mempertingkatkan kedudukan berikutan (status) Qatar sebagai antara pengeksport terbesar gas asli cecair (LNG) ke Asia dan akan terus berbuat demikian," katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Hadir sama Duta Qatar ke Malaysia Fahad Mohammed Kafoud beserta delegasi Kementerian Perdagangan dan Industri Qatar.

Ali kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Qatar yang akan diadakan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Khamis.

Mesyuarat itu antara lainnya dijangka membincangkan aspek kerjasama perdagangan dan pelaburan selain usaha meningkatkan pelaburan membabitkan kedua-dua negara tersebut.

Malah, beberapa memorandum persefahaman dalam bidang jaminan dan keselamatan makanan serta promosi pelaburan akan turut ditandatangani pada mesyuarat itu, kata beliau.

Qatar adalah antara negara terkaya dunia dari segi keluaran dalam negara kasar per kapita dan Malaysia merupakan rakan dagang ke-24 terbesarnya.

Ali turut mengakui bahawa Malaysia merupakan pasaran penting untuk Qatar dan yakin hubungan dua hala memberangsangkan antara dua negara itu kekal utuh berikutan hubungan akrab yang terjalin antara Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami juga akan menjadi tuan rumah Forum Ekonomi Islam Sedunia di Qatar, hasil sokongan Malaysia. Tanpa Malaysia, tidak mungkin kami dapat mencapainya," kata beliau.

Selain itu, Ali turut mengalu-alukan pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di Qatar dan menggesa firma terbabit menjadikan negara itu sebagai pintu masuk ke pasaran lain seperti Afrika, Timur Tengah dan Asia Barat.

Pada 2018, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Qatar meningkat 29.3 peratus tahun ke tahun kepada RM3.72 bilion daripada RM2.88 bilion pada 2017.

Eksport pula menokok 29.8 peratus kepada RM989.6 juta dan import bertambah 29.1 peratus kepada RM2.73 bilion.

Bagi tempoh Januari-Ogos 2019, jumlah perdagangan meningkat 25.2 peratus kepada RM2.47 bilion berbanding RM1.98 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama 2018.

Eksport pula meningkat 43.7 peratus kepada RM994 juta daripada RM691.6 juta manakala import menokok sebanyak 15.3 peratus kepada RM1.48 bilion daripada RM1.28 bilion, sebelum ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan