SEREMBAN, 9 Okt -- Buat julung kali Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan akan digabungkan dengan program Bulan Usahawan Negeri Sembilan dan program baharu Food Fest Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Fest 2019.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata NS Fest 2019 adalah karnival terbesar di Negeri Sembilan yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung melibatkan sebanyak 226 gerai jualan dan pameran.
Acara anjuran kerajaan negeri ini akan diadakan di Dataran Nilai, Nilai dari 17 hingga 20 Okt.
Katanya selain gerai jualan dan pameran, aktiviti lain ialah Forum Perdana, pertandingan masakan, persembahan artis jemputan, persembahan kumpulan dram dan gendang, demonstrasi masakan, program santai seperti 'buskers' dan 'hot air balloon' serta temuduga di bawah Jobs Malaysia.
"Objektif penganjuran NS Fest 2019 ialah ke arah mewujudkan satu 'programme branding' yang sinonim dengan Negeri Sembilan yang mampu menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk negeri ini, malah juga dari negeri-negeri lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
"Selain 51 jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, turut mengambil bahagian pada NS Fest 2019 antaranya ialah 60 orang usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), 60 orang usahawan Industri Asas Tani (IAT) serta 60 orang pengusaha makanan tradisional" katanya.
Beliau berkata usahawan PKS yang terlibat dalam NS Fest 2019 adalah merangkumi sektor pemakanan, perkhidmatan, tekstil dan peruncitan, manakala usahawan IAT mengkhususkan jualan buah-buahan, sayur-sayuran, bahan basah dan 'nursery'.
Katanya penganjuran NS Fest 2019 ini adalah sebagai salah satu landasan kerajaan negeri untuk membangunkan, merakyatkan dan memperkasakan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan di negeri ini.
"Kita menyasarkan 300,000 orang akan mengunjungi NS Fest 2019. Saya secara peribadi percaya NS Fest 2019 akan melonjakkan lagi nama Negeri Sembilan dalam kalangan masyarakat setempat, mahu pun luar Negeri Sembilan dan insya-Allah, NS Fest akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial