AM

Pelepasan cukai RM2,000 hantar anak ke taska, pra-sekolah JKM

15/10/2019 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Ibu bapa boleh menuntut pelepasan cukai sebanyak RM2,000 jika mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah yang dihantar ke taman asuhan atau pra-sekolah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berbanding RM1,000 sebelum ini.

Pelepasan cukai itu antara peruntukan menarik terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat buat kali pertama hari ini.

Menurut RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, pindaan tersebut berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2020 dan tahun-tahun berikutnya.

Menurut buku RUU yang diedarkan kepada media hari ini, RUU itu juga menggariskan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bagi penyakit serius yang diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

RUU itu dibentang bagi mewujudkan suatu akta untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Kewangan 2010 dan Akta Kewangan 2018.

Selain itu, RUU tersebut juga memasukkan subseksyen baharu iaitu pemberian rebat cukai ke atas levi pelepasan dibayar di bawah Akta Levi Pelepasan 2019 oleh seorang individu yang meninggalkan Malaysia melalui udara untuk menunaikan umrah atau ziarah agama lain.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung sehingga 5 Dis depan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan