Gencatan senjata berkuatkuasa di Gaza [ 6m ago ]

Hasil kajian mekanisme subsidi petrol M40 diumum pada 2020 - Lim

Tarikh kemaskini: 15/10/2019
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan akan mengumumkan hasil kajian mengenai mekanisme subsidi petrol bagi isi rumah kumpulan berpendapatan sederhana (M40) pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini.

Beliau berkata kerajaan masih dalam peringkat meneliti mekanisme tersebut yang dijangka siap menjelang Mac, 2020.

“Kajian membabitkan M40 itu dijangka siap pada Mac dan kita akan membuat pengumuman selepas itu," katanya kepada pemberita selepas sesi 'In Conversation with the Finance Minister and Halifax Bank of Scotland whistleblower, Paul Moore,' (Bicara Bersama Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan Pemberi Maklumat Halifax Bank Of Scotland, Paul Moore) di sini, hari ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Rakan Kongsi dan Ketua Perundingan Risiko dan Perkhidmatan Forensik PwC Malaysia, Alex Tan, diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa 2019.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution dipetik sebagai berkata, kerajaan akan mengumpulkan maklumat sewajarnya bagi menentukan bilangan mereka daripada kumpulan M40 yang layak untuk menikmati manfaat Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas.

Menurut Saifuddin, kementerian beliau akan membincangkan secara lanjut perkara itu dengan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan bagi merangka mekanisme untuk mengenal pasti hanya mereka yang benar-benar layak dapat menikmati manfaat itu.

Dalam pada itu, Lim turut menegaskan bahawa Belanjawan 2020 boleh disifatkan sebagai pemangkin bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelbagai insentif yang disenaraikan selain tumpuan terhadap aspek pendigitalan.

Kementerian Kewangan akan turut mempertimbang cadangan untuk memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya ia tidak membebankan rakyat.

Terdahulu ketika berucap, Lim berkata Malaysia adalah antara segelintir kecil ekonomi dunia yang menikmati pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih pantas pada suku kedua berbanding sebelum ini.

"Pembaharuan institusi kita merupakan teras kepada daya tahan ekonomi negara ini," katanya.

Malah, kata Lim, susulan pencapaian prestasi yang lebih kukuh bagi separuh pertama 2019, KDNK itu dijangka mencecah sekitar 4.7 peratus tahun ini berbanding 4.8 peratus pada 2020.

"Jika 2018 dan 2019 menjadi tahun untuk kita bertumpu kepada usaha membersihkan kerajaan, 2020 sebaliknya menjadi tahun untuk kita tampil dan membuat lonjakan bagi menyertai senarai negara-negara maju.

"Malangnya, usaha kita untuk melonjakkan Wawasan 2020 itu telah dijejaskan oleh apa yang berlaku sebelum ini," katanya.

Jelas beliau, skandal-skandal lampau telah menjadikan Malaysia menjadi tumpuan global atas sebab yang salah serta mengikis sebahagian besar keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk melindungi kepentingan pelabur, perniagaan dan rakyat mengikut ketetapan undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan kini dalam proses membina semula keyakinan rakyat serta melaksanakan antara lainnya pentadbiran bebas rasuah menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

"Pada minggu lepas, Bank Dunia telah mengumumkan Worldwide Governance Indicators (WGI) yang mengukur kualiti institusi di lebih 200 negara.

"Malaysia adalah antara negara yang mencatat peningkatan dalam WGI tersebut, khususnya dari segi akauntabiliti (kebertanggungjawaban), keberkesanan kerajaan, pentadbiran undang-undang serta antirasuah," katanya.

Selain itu, Lim berkata, pembabitan tenaga kerja wanita yang rendah iaitu sekitar 55 peratus adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dan angka itu lebih rendah daripada sasaran kerajaan sebanyak 60 peratus.

“Dalam laporannya baru-baru ini, Bank Dunia menyatakan pendapatan per kapita kita boleh meningkat 26 peratus jika kita dapat menghapuskan semua kekangan yang dihadapi wanita dalam pasaran pekerjaan.

"Kita juga semakin hampir untuk mencapai sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam Lembaga Pengarah 100 syarikat yang tersenarai di Malaysia.

"Menurut Suruhanjaya Sekuriti, penyertaan wanita meningkat kepada 23.7 peratus pada 2018 daripada 16.6 peratus yang dicatatkan pada 2016," kata Lim.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu