DUNIA

Jualan kereta Jepun di Korea Selatan menurun ekoran kempen pemulauan barangan Jepun

17/10/2019 10:33 PM

SEOUL, 17 Oct  -- Jualan kereta Jepun di Korea Selatan mencatat penurunan lebih separuh untuk bulan kedua berturut-turut pada September ekoran kempen pemulauan barangan Jepun.

 Agensi berita Xinhua memetik laporan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga pada Khamis menyatakan, jualan kereta import dari Jepun menjunam sebanyak 59.8 peratus pada September berbanding tahun lalu selepas susut 56.9 pada bulan sebelumnya.

 Ia berlaku ketika pengguna memboikot produk Jepun sebagai tindak balas terhadap Tokyo mengetatkan kawalan eksport tiga material penting untuk menghasilkan cip memori dan panel paparan ke Korea Selatan - yang menjadi nadi eksport negara itu - pada Julai lalu.

 Pada Ogos, Jepun menggugurkan Korea Selatan daripada senarai rakan niaga yang boleh dipercayai dan melucutkan beberapa keistimewaan eksport ke negara itu.

 Sebagai tindak balas, Seoul menyingkirkan Tokyo daripada senarai rakan eksport yang boleh dipercayai.

 Dalam pasaran domestik, jualan kenderaan Korea Selatan serta kereta yang diimport mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tahun lalu kepada 133,016 unit pada September.

Jualan model kereta tempatan menokok 1.0 peratus manakala jualan kereta import melonjak 22.4 peratus ekoran permintaan tinggi terhadap model mewah dari Jerman.

Eksport kereta turun 4.8 peratus sejak tahun lalu kepada 171,425 unit pada bulan lalu, tetapi dalam perkiraan nilai, penghantaran kereta naik empat peratus kepada US$3.08 bilion berikutan permintaan tinggi terhadap model SUV mewah dan kenderaan mesra alam.

Eksport alat ganti naik 2.1 peratus kepada US$1.79 bilion pada bulan berkenaan. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan