KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Bank Muamalat Malaysia Bhd memperuntukkan pembiayaan perumahan berjumlah RM70 juta bagi skim Smart Mortgage-SJKP dengan kadar keuntungan sebanyak lima peratus untuk 300 pelanggan bagi tahun pertama.
Bank Muamalat hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Bhd untuk melancarkan skim pembiayaan perumahan khas tersebut bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau B40.
Ketua Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata skim itu memberi peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah atau tidak tetap untuk memiliki rumah pertama yang bernilai RM300,000 dan ke bawah.
“Skim ini akan dijamin oleh SJKP untuk memudahkan pembiayaan perumahan meskipun mereka tidak memiliki penyata pendapatan bulanan.
“Bagaimanapun, kita mempunyai kriteria dan cara tertentu untuk menilai dan mengesahkan kemampuan seseorang dalam membayar semula pinjaman untuk memastikan sama ada dia layak atau tidak misalnya daripada ketua kampung dan membuat kunjungan,” katanya kepada pemberita pada majlis pemeteraian perjanjian dan pelancaran skim itu di sini.
Skim tersebut disasarkan kepada individu yang bekerja sebagai nelayan, petani, operator kilang, peniaga kecil, pemandu teksi, pekerja am dan sebagainya.
Ia layak kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan bersih minimum sebanyak RM1,000 sebulan.
Sementara itu, Pengurus Besar SJKP, Azlan Mohd Agel berkata usaha sama ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin melihat setiap keluarga memiliki rumah sendiri.
“Skim ini bukan sahaja terbuka kepada rumah baharu, tetapi juga rumah yang dijual semula dan lelong.
“Kita juga akan terus memantau keperluan perumahan untuk rakyat yang memerlukan. Dengan kerjasama ini diharap dapat merealisasikan impian mereka memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Bank Muamalat yang ditubuhkan pada 1 Okt, 1999 merupakan ahli Kumpulan DRB-Hicom Bhd yang memiliki 70 peratus pegangan saham dan bakinya oleh Khazanah Nasional Bhd.
SJKP Bhd ditubuhkan sebagai syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan pada 6 Dis, 2007.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial