EKONOMI

Laundrybar sasar buka lima francais di Filipina

23/10/2019 10:23 AM

KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Syarikat dobi layan diri tempatan, City Coin Laundry (LaundryBar) Sdn Bhd menyasarkan pembukaan lima francais baharu di Filipina dalam suku pertama, 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas City Coin Laundry Sdn Bhd, Paul Ang berkata, sehingga kini terdapat 520 cawangan LaundryBar di Malaysia dan 20 lagi di luar negara iaitu 11 cawangan di Thailand, lapan di Brunei dan sebuah di Turki.

“Sejak ditubuhkan pada 2013, LaundryBar telah berjaya melahirkan banyak usahawan francais melalui pembukaan cawangannya di seluruh negara dan berharap lebih ramai orang awam akan berminat dalam bidang francais,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Sejajar dengan perkembangan industri francais yang semakin menggalakkan, LaundryBar terus komited membantu pengusaha dan bakal usahawan tempatan untuk menceburi bidang perniagaan francais yang mampu menjana pendapatan lumayan sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi.

Sehubungan itu, LaundryBar merancang untuk memperkenalkan pembiayaan pelaburan bagi menarik minat lebih ramai usahawan untuk membuka franchais dobi layan diri, sekaligus merancakkan perkembangan syarikat.

 Katanya, buat masa ini, LaundryBar membantu usahawan untuk mendapat pembiayaan daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan syarikat kewangan swasta yang menawarkan pakej pembiayaan yang menarik.

Terdapat tiga jenis pakej francais yang boleh dipilih iaitu 'Standard', 'Semi Mega Store' dan 'Mega Store' dengan setiap pakej mempunyai kelebihan tersendiri mengikut kesesuaian bakal usahawan francais. 

LaundryBar baru-baru ini memenangi Anugerah Francaisor Harapan Terbaik 2019 pada Malam Anugerah Francais (MAF2019) anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Ini merupakan kemenangan kali kedua, syarikat itu meraih Anugerah Francaisor Harapan Terbaik setelah turut menerima anugerah yang sama pada 2018.  

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan