EKONOMI

Malaysia sasar perkukuh hubungan dagangan dengan UAE

22/10/2019 07:36 PM

Daripada Zairina Zainudin

DUBAI, 22 Okt -- Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh hubungan dagangan dua hala dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mana jumlah dagangan antara kedua-dua negara itu diunjur meningkat sebanyak 5.0 peratus tahun ini daripada US$5.7 bilion pada 2018. 

Duta Besar Malaysia ke UAE Mohd Tarid Sufian berkata perdagangan dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) itu lebih berpihak kepada UAE sejak 2017 namun Malaysia berjaya mengurangkan jurang itu sebanyak 66 peratus pada tahun lepas.

"UAE juga berminat untuk meningkatkan kerjasama strategik sedia ada dengan Malaysia, terutamanya dalam bidang teknologi pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan bersih selain industri halal dan pelancongan.

"(Peluang) itu pasti akan ditinjau kerana ia merupakan antara empat bidang yang menjadi kekuatan kita. Bersandarkan faktor itu, saya yakin perdagangan tahun ini akan melepasi angka yang diraih pada tahun lepas," katanya kepada Bernama.

Mohd Tarid berkata hubungan Malaysia dengan UAE juga diwujudkan daripada asas yang kukuh, berdasarkan persamaan aliran dan pemacu pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara termasuk pembuatan teknologi baharu, perkhidmatan dan perdagangan antarabangsa, inovasi, penyelidikan dan pembangunan, dasar perdagangan yang lebih terbuka serta sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Malah, sejak beberapa dekad lepas, Malaysia dan UAE juga telah menjalin hubungan yang akrab dan dua-dua negara turut muncul sebagai contoh peneraju ekonomi Islam yang menerapkan kemajuan dan pembangunan komunitinya, kata beliau.

UAE merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota GCC, diikuti oleh Arab Saudi dan Qatar.

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2019, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE telah mencecah US$3.74 bilion - susut dua peratus berbanding tempoh sama pada 2018. 

Bagi tempoh sama, eksport utama Malaysia ke UAE adalah seperti barang kemas (US$483.6 juta), produk elektrikal dan elektronik (US$455.1 juta), mesin dan kelengkapan (US$105.6 juta) dan makanan diproses (US$75 juta). 

Sementara itu, mengulas Ekspo Dubai 2020, Pesuruhjaya Jeneral Malaysia Mohd Hasril Abdul Hamid berkata acara mega itu merupakan platform utama bagi Malaysia untuk meningkatkan peluang perdagangan dan perniagaan di UAE dan kawasan lain.

"Malaysia juga mengakui kepentingan menyertai ekspo dunia ini sejak beberapa tahun lepas dan acara sedemikian telah membantu melonjakkan serta mempromosi prospek pelaburan dan perdagangan yang boleh ditawarkan oleh negara ini.

"Oleh kerana Ekspo Dubai 2020 serentak dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, ia merupakan tempoh yang amat tepat untuk mempromosi negara kita," katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan