AM

Segelintir peniaga dikesan jual barangan pada harga lebih tinggi

22/10/2019 10:46 PM

ALOR SETAR, 22 Okt  -- Segelintir peniaga ayam dan sayur-sayuran di sini dikesan menjual barang-barang basah pada harga melebihi yang ditetapkan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan untuk musim perayaan Deepavali.

Tinjauan di pasar sehari Simpang Kuala di sini mendapati ada peniaga menjual ayam pada harga RM8 hingga RM8.50 sekilogram bagi harga runcit berbanding RM7.30 yang telah ditetapkan.

Peniaga ayam, Ibrahim Murad, 62, berkata, beliau sedar mengenai penetapan harga kawalan itu, namun tiada pilihan lain dan terpaksa menjual ayam pada harga RM8 sekilogram bagi menampung kos operasi terutama ketika musim hujan.

“Sebelum ini, saya jual RM8.50 sekilogram, selepas penetapan harga kawalan, saya turunkan juga kepada RM8 agar tidak membebankan pengguna bagi menyambut perayaan Deepavali minggu depan, musim hujan menyebabkan jualan turut merosot dan mampu menjual 30 ekor ayam sahaja berbanding 60 ekor sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, dia bertindak demikian bagi membolehkan mendapat sedikit keuntungan selepas membeli ayam dari pembekal sekitar RM6 sekilogram.

Bagi peniaga sayur, Musa Md Noh, 54, pula musim hujan yang berlarutan sejak seminggu lalu menyebabkan harga sayur yang dibeli dari pembekal menjadi lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Jika sebelum ini kacang bendi dibeli pada harga RM3 sekilogram, namun ia naik kepada RM4.50 sekilogram, pembekal kata pokok tenggelam menyebabkan barang tak banyak, jadi saya jual RM6 sekilogram begitu juga tomato bagi mendapat sedikit untung,” katanya.

Bagaimanapun seorang peruncit yang hanya mahu dikenali sebagai Tai Sing, 58, berkata beliau akur dengan penetapan harga kawalan bagi tidak membebankan pengguna.

“Sebelum ini telur bagi gred A dijual 40 sen, gred B (39 sen) dan gred C (38 sen), namun selepas kerajaan umum harga kawalan saya turunkan satu sen, saya ikut sahaja sebab bukan lama kerajaan tetapkan harga itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Mohammad Fitri Hassan ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata pihaknya mengambil maklum dan akan melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak engkar.

“Saya minta peniaga akurlah kerana ia dilaksanakan untuk melindungi pengguna, ia dilaksanakan selepas semua pihak kepentingan dipanggil dan berbincang dengan harga yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 bermula Sabtu lepas untuk tempoh 14 hari, dengan 19 barang disenarai di bawah harga kawalan.

Sementara itu, di GEORGE TOWN, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain berkata banyak bahan yang tersenarai dalam 19 barang di bawah Skim Harga Maksimum Perayaan itu didapati dijual pada harga di bawah harga kawalan maksimum yang ditetapkan.

"Bekalan tahun ini setakat ini mencukupi, pengguna jangan bimbang. Banyak barang (dijual) bukan sahaja di bawah harga kawalan maksimum malah lebih murah," katanya kepada pemberita ketika meninjau harga barangan kawalan SHMMP di Air Itam dekat sini.

Beliau mengingatkan pengguna agar peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika peniaga tidak mempamerkan tanda harga khususnya pada 19 barang kawalan itu yang mesti diletakkan dengan tanda harga berwarna merah jambu.

“Peniaga yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun maksimum RM5,000 bagi individu manakala denda maksimum RM20,000 atau kompaun RM10,000 bagi syarikat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan