SHAH ALAM, 29 Okt -- Belanjawan Selangor 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini, disifatkan bakal menjadi penanda aras kepada mencapai matlamat Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata ini kerana belanjawan itu akan menumpukan lima perkara utama iaitu pemberdayaan ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan aspek sosial yang dilihat memenuhi kehendak rakyat.
"Sudah pasti sebagai kerajaan negeri kita mempunyai misi dan visi sebab itu saya sebutkan lima perkara penting (untuk belanjawan 2020), sebelum kita menuju negeri pintar dalam tempoh lima tahun lagi.
"Belanjawan ini juga dilihat akan menjadi pembukaan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selain menjadi starting point untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.
Jelas Amirudin, kerajaan negeri juga sebelum ini turut mengadakan beberapa sesi “town hall' bagi mencari pendekatan terbaik agar belanjawan tersebut memberi manfaat kepada 6.4 juta rakyat negeri ini.
"Kita telah aturkan tidak kurang daripada 12 ke 13 town hall session, sebelum kita melahirkan belanjawan ini dan sudah pasti kita melihat daripada pelbagai aspek dan bidang, supaya ia memenuhi harapan rakyat," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai SMG tersebut, Amirudin berkata projek inisiatif Menteri Besar Incorporated itu dilihat mampu mengembalikan semula ekosistem semula jadi sekitar Sungai Klang.
Beliau berkata menerusi SMG, tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan, diberi tumpuan di sepanjang kawasan sungai tersebut.
"Pelancaran hari ini merupakan petanda baik terhadap usaha pemuliharaan Sungai Klang, yang mana selepas menjalani kerja-kerja pembersihan selama empat tahun bermula tahun lepas, kita yakin mampu mewujudkan ekosistem sungai yang dapat menggalakkan inklusiviti, inovasi dan kelestarian kawasan sekitar sungai tersebut, " katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial