Oleh Ravindran Raman Kutty
Penulis, Ravindran Raman Kutty adalah seorang pengamal komunikasi dan juga felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.
KUALA LUMPUR (Bernama) - "Seekor gajah Pygmy ditemukan mati di Sabah. Hidupan liar terancam itu ditembak 70 kali dan gadingnya dipotong setelah dibunuh dengan kejam oleh pemburu haram..."
Inilah berita pertama yang saya dengar sebaik sahaja memasang radio pada suatu pagi, akhir bulan lepas.
Remuk rasa hati apabila mendapat tahu seekor lagi haiwan malang menjadi mangsa pemburu haram yang tidak berperikemanusiaan.
Sebelum ini, pada Julai lepas, penduduk sebuah kampung di Terengganu dikejutkan dengan kehadiran dua ekor harimau yang tidak diundang berkeliaran di kampung mereka.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof dipetik media sebagai berkata bahawa harimau itu berkemungkinan haiwan peliharaan berdasarkan sifatnya yang jinak,
Justeru, beliau memberi amaran bahawa sebarang aktiviti menyimpan, memburu, mencedera atau mengancam hidupan liar adalah suatu kesalahan di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Sejak beberapa tahun lepas, setiap kali saya dalam perjalanan ke tempat kerja, saya melihat banyak bangkai monyet dan pelbagai spesies burung di atas jalan raya utama terutamanya di kawasan luar bandar.
Manusia adalah pemangsa terbesar bagi spesies hidupan liar yang menyebabkan haiwan ini tidak dapat hidup bersama dalam komuniti manusia.
Di Lembah Klang, pembangunan Ampang misalnya amat membimbangkan kerana Ampang adalah kawasan eksklusif di bandar raya dan di sini terdapat banyak kera menceroboh ke dalam rumah kediaman untuk mencari makan.
Rakan saya yang merancang berpindah ke Ampang berasa bimbang tentang bagaimana habitat kera di kawasan itu akan diuruskan.
Namun, apakah peranan pihak berkuasa tempatan dalam menguruskan isu ini? Adakah Jabatan Perhutanan menyedari perkara yang berlaku di Ampang? Bolehkah pelan tindakan bersepadu dilakukan untuk memindahkan haiwan yang terbiar dan sesat ini ke tempat yang lebih selamat?
Pemburuan secara haram hidupan liar di Malaysia semakin berleluasa dan membimbangkan. Fenomena sebegini mencerminkan sikap tamak dan haloba manusia. Keinginan yang tidak berkesudahan manusia ini lama kelamaan akan menyebabkan dunia ini tiada lagi fauna yang akan hidup atau membiak.
Ia umpama falsafah nasionalis India, Mahatma Ghandi bahawa "Isi dunia cukup untuk keperluan semua manusia, tetapi tidak cukup untuk memenuhi keserakahan semua manusia."
Pemburuan haram bukanlah perkara baharu di Malaysia, malah aktiviti pemburuan haram telah pun berlaku 100 tahun lalu dan aktiviti inilah menyebabkan spesies badak Sumatera pupus dari hutan hujan tropika di Malaysia.
Trend pemburu haram kini, memburu mana-mana spesies haiwan yang dianggap mempunyai nilai komersial. Mereka yang tinggal dekat dengan hutan juga terlibat dengan aktiviti itu malah kadang kala menjadi tali barut pemburu haram.
Taman negara dan kawasan yang dilindungi sering menjadi sasaran pemburu haram yang tidak bertanggungjawab ini kerana kawasan ini kaya dengan hidupan liar.
Hampir setiap hidupan liar boleh diburu atau ditangkap secara haram seperti harimau, gamat mahupun kupu-kupu. Pihak berkuasa pula sering merampas sejumlah besar burung dan reptilia daripada aktiviti penyeludupan haiwan.
Kepupusan tenggilling juga amat membimbangkan. Pada 7 Feb 2019, 30 tan metrik haiwan ini dirampas di Kota Kinabalu, Sabah.
Pemburuan haram semestinya membawa kesan buruk kepada Malaysia, habitat harimau kini kurang daripada 200 ekor kerana rata-rata bahagian tubuh harimau sangat berharga dan menjadi sasaran pemburu haram.
Rusa sambar dan kijang - pemangsa utama harimau - juga diburu atau ditangkap secara haram sekaligus menyebabkan harimau cepat pupus.
Di Sabah pula, keadaan menjadi lebih serius kerana habitat gajah Pgymy (yang sering diburu kerana gadingnya) hanya terdapat di negeri ini.
Perdagangan hidupan liar secara haram dalam talian kebanyakannya melibatkan haiwan yang masih muda, termasuk beruang matahari, ungka, kucing batu, kongkang dan pelbagai burung pemangsa.
Dari segi perdagangan haram antarabangsa pula, Malaysia adalah hab pemindahan terbesar bagi gading gajah, sisik tenggiling, kura-kura dan tanduk badak sumbu dari Afrika.
Sebab utama pemburuan haram adalah disebakan terdapatnya permintaan terhadap hidupan liar sebagai haiwan peliharaan (contohnya, haiwan yang jarang ditemukan dan unik) serta untuk tujuan perubatan (hempedu beruang, tanduk badak dan tulang harimau).
Harimau juga diburu bagi mendapatkan bahagian tertentu badannya kerana dipercayai sesetengah orang boleh dijadikan azimat.
Sementara itu, beberapa jenis haiwan akan berakhir sebagai hidangan eksotik di atas meja restoran, sementara itu gading digunakan sebagai barangan hiasan dan kepala rusa untuk tujuan taksidermi (mengawet).
Hakikatnya, pemburuan haram dan perniagaan haram hidupan liar kini semakin kritikal di seluruh Asia Tenggara. Hutan-hutan kita tidak selamat dan dipenuhi jerat binatang.
Justeru Malaysia seharusnya menitikberatkan isu ini dan menangani masalah tersebut, jika tidak negara akan mengalami kerugian. Ini kerana negara kita kaya dengan hidupan liar yang masih perlu dilindungi.
Undang-undang hidupan liar di Semenanjung Malaysia adalah antara yang paling ketat di rantau ini. Sabah, misalnya meminda undang-undangnya baru-baru ini, tetapi Sarawak masih jauh ketinggalan berbanding undang-undang di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Setiap warganegara wajib melakukan perkara berikut untuk memulihara hidupan liar:
1. Jangan beli. Ini tindakan terpenting dan sangat berkesan dan sesiapa sahaja boleh melakukanya untuk mengurangkan permintaan. Anda tidak memerlukan anak (bayi) beruang atau bayi monyet merah sebagai haiwan peliharaan. Kehidupan anda tidak bergantung kepadanya tetapi haiwan ini sangat bergantung kepada kebebasannya.
Katakan tidak kepada daging rusa atau daging hidupan liar yang dilindungi. Dengan makan daging berkenaan juga tidak akan membuatkan anda menjadi lebih kuat, kelihatan lebih baik, lebih bijak, lebih pantas atau lebih bertenaga. Terdapat alternatif lain daripada menggunakan ubat-ubatan berasaskan haiwan liar. Hanya gajah sangat memerlukan gadingnya, bukannya mahkhluk lain.
2. Didik diri sendiri, rakan-rakan dan keluarga anda. Ramai tahu bahawa seseorang itu telah melanggar undang-undang, tetapi tiada sesiapapun berusaha untuk menginsaf atau mendidik pesalah berkenaan. Maka sudah tiba masanya untuk kita bertindak secara kohesi untuk menghentikan pemburuan haram terhadap haiwan.
3. Laporkan jenayah pemburuan haram hidupan liar. Hubungi talian hotline Jenayah Hidupan Liar di 019-3564194 (untuk Malaysia sahaja).
Juruhebah berbahasa Inggeris dan sejarawan alam tabii, David Attenborough menyatakan bahawa alam semula jadi dunia kini menghadapi masalah serius. Saya sangat bersetuju dengan kenyataan beliau itu. Pemburuan haram secara tersurat dan tersirat ibarat antara hidup dan mati. Flora dan fauna adalah komponen yang paling penting dalam hidup kita.
Ia menambah semangat, kepelbagaian dan kecantikan bagi alam semula jadi dan membolehkan dunia ini terus bersemarak.
Dalam Bajet 2020, kerajaan telah memilih langkah yang betul dengan memperuntukkan sebanyak RM83 juta bagi usaha pemuliharaan populasi hidupan liar dan perlindungan hutan hujan tropika negara.
Daripada peruntukan tersebut, RM15 juta akan disalurkan kepada Perikatan Pemuliharaan bagi Harimau (MYCAT), Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok di Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk melindungi haiwan terancam di negara ini.
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)
Disunting dan diterjemah oleh Rafeáton Md. Ali
BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial