EKONOMI

MIDA, MATRADE BERBINCANG DENGAN FMFTA TUBUH HAB TEKSTIL

31/10/2019 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dengan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), akan mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) untuk mewujudkan hab tekstil di Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata usaha untuk penstrukturan semula industri Malaysia, penting untuk mempunyai pelaburan langsung domestik (DDI).

"Ini adalah sesuatu kerajaan menyokong sepenuhnya (DDI) kerana kami yakin pelabur domestik turut mempunyai keupayaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran FMFTA di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Protem FMFTA Datuk Seri Tan Thian Poh.

Tan berkata FMFTA mahu bersaing dan berharap tanah seluas 1,000 hektar diperuntukkan sama ada di Sabah, Kedah atau Kelantan untuk hab tekstil.

"Kami akan membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI), (diharap) dengan sokongan kerajaan negeri. Ia akan turut menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar," katanya.

Leiking, bagaimanapun, berkata hab tekstil itu perlu menghimpunkan pihak-pihak yang berkaitan dan bermula dengan FMFTA mengemukakan cadangan kepada MIDA, selain melalui proses usaha wajar.

Menurut Tan, bagi hab tekstil, FMFTA boleh mempelawa FDI dari China, Taiwan, Korea Selatan atau Jepun dan memberi tumpuan kepada sektor huluan untuk mengukuhkan industri.

Berdasarkan data MIDA mengenai segmen huluan dan hiliran industri, sebanyak 1,195 projek tekstil dan pakaian bernilai RM12.6 bilion berjaya dilaksanakan dalam negara sehingga Dis 2018. Projek itu turut mewujudkan lebih 155,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, pada separuh pertama 2019, MIDA meluluskan pelaburan tambahan sebanyak RM94.4 juta untuk lima projek.

Azman berkata MIDA dijangka meluluskan pelaburan bernilai hampir RM120 juta hanya untuk pembuatan dan dengan pelaksanaan teknologi seperti automasi, ia akan dapat memajukan industri, berdasarkan ia mempunyai ruang yang mencukupi untuk berkembang.

"Kerajaan memahami meningkatkan rantaian nilai akan memerlukan sumber kewangan yang mungkin tidak dapat diakses oleh banyak pihak berkepentingan tempatan.

"Oleh itu, pelbagai inisiatif seperti Taraf Perintis, Elaun Cukai Pelaburan, Elaun Modal Automasi dan geran seperti Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) dan Program Pemecutan Transformasi Digital (DTAP) disediakan untuk memudahkan syarikat yang layak mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan