KUALA LUMPUR, 1 Nov -- Kenanga Research menurunkan unjuran keuntungan bersih Pharmaniaga Bhd yang dianggarkan bagi tahun kewangan 2020 (FY20) iaitu sebanyak 32 peratus, dengan mengambil kira penurunan hasil sebanyak 18 peratus.
Ini susulan tamatnya konsesi bagi perkhidmatan logistik dan pengedaran pembekalan perubatan dan pengenalan sistem tender terbuka seperti diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Berita terbaru itu merupakan tamparan besar kepada Pharmaniaga, yang konsesinya tamat pada akhir bulan ini.
“Ini bermakna Pharmaniaga akan perlu menyertai tender terbuka untuk mendapatkan kontrak dan mungkin juga perlu berdepan dengan margin keuntungan lebih kecil disebabkan oleh tekanan daya saing,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Sementara itu, dalam pengumuman berasingan kepada Bursa Malaysia, Phamaniaga menyatakan operasi perniagaan syarikat itu berjalan seperti biasa sementara menunggu keputusan Kabinet.
Konsesi itu menyumbang kira-kira 50 peratus kepada hasil kumpulan.
Kenanga Research turut menurunkan harga sasaran ke atas saham Pharmaniaga kepada RM1.60 daripada RM2.35 sesaham dan turut menurunkan cadangan penarafannya kepada ‘underperform’ daripada ‘market perform’ sebelumnya.
Pada 10.40 pagi, saham Pharmaniaga turun lima sen kepada RM2.16 dengan 459,000 saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial