SUKAN

Melaka United nafi berbelanja besar musim depan - Presiden

07/11/2019 01:18 PM

MELAKA, 7 Nov  -- Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) hari ini menafikan pasukan itu berbelanja besar bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan seperti dilapor sebuah portal media tempatan semalam, kata Presidennya Damian Yeo Shen Li. 

Beliau berkata dakwaan itu tidak tepat kerana beliau sendiri mengambil inisiatif berunding terus dengan pemain disaksikan ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan serta pegawai kewangan MUSA dan telah menjimatkan RM50,000 sebulan selepas menandatangani kontrak dengan tujuh pemain setakat ini.

"Saya akan memberikan terma termasuk alternatif (kepada pemain) dan sekiranya tidak berpihak kepada persatuan, ia akan ditolak bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk MUSA, penaja, penyokong dan kebajikan para pemain.

"Namun pengurangan (kos) tersebut tidak bermakna kualiti bola sepak Melaka akan menurun, tetapi akan memberi saingan yang lebih hebat untuk musim Liga Malaysia 2020," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Portal berita berkenaan melaporkan MUSA memberi bayangan akan berbelanja besar sekali lagi menjelang persiapan Liga Malaysia musim depan selepas kurang daripada 10 pemain musim ini akan ditawarkan kontrak semusim lagi bersama kem hijau putih itu.

Ditanya tentang persiapan skuad Hang Tuah itu musim depan, Yeo berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan seorang pemain import dan seorang pemain berdarah campuran untuk dibawa masuk menguatkan pasukan.

"Kita yakin dengan keupayaan dimiliki mereka yang dilihat mampu membantu pasukan untuk beri saingan kepada pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Super nanti," katanya.

Yeo berkata MUSA juga mengekalkan sembilan pemain sedia ada musim ini termasuk dua pemain import bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Tanpa menamakan pemain import yang dikekalkan, beliau berkata antara pemain tempatan yang dikekalkan ialah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang masih mempunyai baki kontrak setahun, serta pemain pertahanan kanan Faris Shah Rosli dan pemain sayap S Deevan Raj yang ditawarkan kontrak baharu.

"Selepas permohonan lesen kelab lulus bagi membolehkan penyertaan liga tahun hadapan, tumpuan kita kini terarah mencari pemain untuk mewakili Melaka United musim depan selain akan memberi pelepasan lebih awal kepada pemain yang tiada dalam senarai pasukan.

"Ini bagi membolehkan mereka mencari kelab baharu mulai minggu ini kerana tidak adil jika kita membiarkan mereka menunggu lebih lama," kata Yeo.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan