KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Kementerian Pengangkutan setakat ini belum menerima sebarang permohonan daripada syarikat perniagaan yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan 'bike-hailing' di negara ini.
Menteri berkenaan, Anthony Loke Siew Fook berkata kementerian itu melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) secara asasnya terbuka dan akan menerima mana-mana permohonan sama ada syarikat tempatan atau luar negara.
“Belum ada apa-apa lagi permohonan, tapi saya yakin akan ada minat daripada beberapa syarikat…kita tidak kira sama ada ia (syarikat) tempatan atau antarabangsa selagi syarikat itu berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mereka boleh (memohon untuk) beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian bagi pembangunan tanah Lot 151, Seksyen 54, Kuala Lumpur antara Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dan LTS Skyline Sdn Bhd di sini hari ini.
Pada Selasa lepas, Loke mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan syarikat perniagaan yang berminat menyediakan perkhidmatan 'bike-hailing' untuk melaksanakan proses rintis atau ‘Proof of Concept’ (POC) di Kuala Lumpur bagi tempoh enam bulan bermula Januari tahun depan.
Antara tujuan bike-hailing diperkenalkan adalah sebagai satu kaedah untuk meningkatkan tahap liputan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.
Dalam pada itu, Loke berkata pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan yang diperkenalkan pada awal tahun ini akan diteruskan tahun depan sebagai usaha berterusan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Beliau berkata, sejak insentif itu diperkenalkan, terdapat peningkatan ketara jumlah pengguna perkhidmatan rel khususnya Tren Transit Aliran Massa (MRT) iaitu mencecah 210,000 pengguna sehari berbanding 150,000 sebelum ia diperkenalkan.
Mengikut perjanjian yang ditandatangani hari ini, LTS Sykline Sdn Bhd akan membangunkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di tanah seluas 1.21 hektar bersebelahan stesen LRT Pudu.
Ia ditandatangani Pengurus Besar RAC Azhar Ahmad dan Pengarah syarikat LTS Skyline Law Wai Cheong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial