LUMUT, 8 Nov -- Kerajaan negeri Perak bercadang meminda Enakmen Perladangan Unggas 2005 bagi menangani masalah lalat yang membelenggu kehidupan penduduk di sekitar, Segari di sini sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata perkara itu dijangka dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan tahun hadapan.
"Kita melihat undang-undang yang ada ini perlu diperkemaskan dan perlunya pindaan selain pastikan pengurusan ladang ternakan, ia juga untuk memastikan penggunaan baja tinja atau najis ayam dapat dihentikan melalui undang-undang.
"Baja tinja masih digunakan secara meluas di ladang kelapa sawit dan ia mengundang kepada masalah lalat terutama semasa musim hujan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan pihak berkuasa, peladang dan penduduk di Pejabat Perkhidmatan Veterinar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Manjung Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip yang turut hadir dalam mesyuarat berkenaan berkata pihak pengusaha ladang bersetuju membantu penduduk menangani masalah lalat, dengan menyediakan pelan komprehensif.
Bagaimanapun Mohamad Fariz berkata perincian bantuan dan sokongan tersebut akan diketahui selepas perjumpaan khas yang akan diadakan dalam masa terdekat.
"Saya akan memanggil pertemuan di peringkat daerah dan menyelaraskan pertemuan tersebut supaya mekanism pelan itu akan berterusan dan bukannya hanya sekadar selepas mesyuarat ini sahaja. Bentuk sokongan dan bantuan berkenaan hanya diperincikan selepas pertemuan khas itu," katanya.
Sementara itu, bagi penduduk mereka mengharapkan usaha menangani masalah dihurung lalat bukan sekadar retorik sahaja kerana ia sudah membelengu penduduk sejak sekian lama.
Bagi K. Thangaraj, 43, yang telah menetap di Kampung Sungai Wangi sejak 34 tahun lalu mendakwa pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membuat aduan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri namun perkara itu tidak pernah selesai.
"Penduduk sudah buat aduan banyak kali tapi tak pernah ada apa-apa tindakan masalah ini tidak akan selesai selagi ada ladang ayam. Masalah ini bukan baru tapi sudah lama.
Menurut Abdul Rahim Zainuddin, 54, peniaga makanan di Kampung Sungai Wangi pula, masalah lalat tersebut kadang-kala menjejaskan perniagaannya.
"Orang sini faham kenapa gerai banyak lalat tapi orang luar fikir kami pengotor. Buatlah apa cara sekalipun letak perangkap lalat dan sebagainya lalat tetap datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial