AM

AirAsia henti jualan rokok dalam pesawat dan laman web

11/11/2019 07:57 PM

SEPANG, 11 Nov-- Berkuatkuasa hari ini, AirAsia telah menghentikan jualan rokok bebas cukai dalam pesawat serta laman webnya, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia , Tony Fernandes. 

Syarikat penerbangan itu telah melaksanakan kempen anti merokok dan vape secara menyeluruh di 120 pejabat dan stesen di seluruh Asia Pasifik manakala RedQ, ibu pejabat syarikat penerbangan itu, kini  mencatatkan 100 peratus sebagai bangunan bebas daripada merokok, katanya pada pelancaran Kempen Anti Merokok dan Kesedaran Denggi AirAsia di RedQ di sini, hari ini.

Bercakap pada persidangan akhbar kemudian, Fernandes berkata, jualan hasil tembakau menghasilkan  pendapatan RM9 juta kepada Kumpulan AirAsia setiap tahun. 

“AirAsia juga bercadang untuk menghentikan jualan produk lain seperti alkohol. Namun ia akan  menjadi agak sukar. Tetapi kita tidak akan tergesa-gesa dengannya. Tiada jangka waktu ditetapkan untuk itu,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang melaksanakan polisi bebas daripada penjualan produk tembakau dalam penerbangan. 

Atas usaha dan kempen anti merokok yang dilaksanakan AirAsia, Kementerian Kesihatan akan memberikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Kempen Blue Ribbon kepada Fernandes di mana sijil akan disampaikan pada majlis anugerah dan pengiktirafan Kempen Blue Ribbon pada 22 Nov ini. 

Menurut Dr Dzulkefly, 23 peratus rakyat Malaysia merokok pada masa ini dan 20,000 kematian dilaporkan setiap tahun kerana penyakit berkaitan rokok. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan