AM

Insentif RM300 untuk belia daftar kursus kekeluargaan di Selangor

13/11/2019 04:29 PM

SHAH ALAM, 13 Nov- - Golongan belia di bawah 40 tahun di Selangor yang baharu berkahwin digalakkan mendaftar kursus kekeluargaan bagi  membolehkan mereka menerima insentif RM300 seorang, bermula Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata kursus di bawah program Insentif Generasi Muda Selangor (iGems) itu dilaksanakan bagi menangani kes penceraian dalam kalangan belia di negeri ini.

"Program ini berkonsepkan pemberian insentif RM300 seorang bagi pemohon dan pasangan yang menepati syarat utama selain berkahwin untuk kali pertama.

"Kursus itu merangkumi aspek pengurusan kewangan, pengurusan emosi dan kemahiran keibubapaan yang mana ditekankan  bagi memenuhi keperluan ilmu rumah tangga,”katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata selain perkahwinan kali pertama, syarat utama untuk mendapatkan insentif tersebut ialah pemohon perlu merupakan anak kelahiran Selangor atau telah lama bermastautin di negeri ini.

Katanya, pemohon dan pasangan juga perlu menghadiri kursus yang ditawarkan itu selama setengah hari sebelum diberikan insentif RM300 tersebut.

"Mereka yang mendaftar (kursus) dan menghadirinya akan diberikan baucer bernilai RM300 dan mereka boleh menunaikan baucer ini di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam tempoh 45 hari.

" Untuk tujuan ini sebanyak RM550,603 diperuntukkan dan kita jangka seramai 1,500 belia Selangor akan mendapat manfaat tersebut," katanya.

Tambah Khairuddin, pendaftaran permohonan itu boleh dibuat menerusi laman sesawang igems.yawas.my, bermula 18 November ini.

Jelasnya, pendaftaran dibuka kepada mereka yang telah berkahwin bermula 1 September 2018 hingga kini.

“Bagi yang berkahwin 1 September 2018 sehingga 31 Disember 2019, permohonan boleh dibuat sehingga 31 Jun 2020.

“Manakala bagi yang berkahwin bermula 1 Januari 2020 hingga seterusnya permohonan hanya dibolehkan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh pernikahan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan