Insentif pengeluaran getah diaktifkan bagi November 2019 [ 7m ago ]

Polis kesan 180 individu bantu siasatan kes jenayah komersial

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Polis sedang mengesan 180 individu bagi membantu siasatan kes jenayah komersial di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata individu yang dikesan itu dikehendaki bagi membantu siasatan membabitkan pelbagai kes jenayah komersial yang dilaporkan sebelum ini.

“Menerusi Operasi Waran Tangkap 2019, seramai 180 individu sedang dikesan di seluruh negara bagi membantu menyelesaikan kes yang dilaporkan sebelum ini. Ia adalah antara usaha dilakukan untuk menyelesaikan isu lambakan kertas siasatan di jabatan ini selaras dengan saranan Ketua Polis Negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Zakaria berkata sebelum ini, seramai 67 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan atas pelbagai kes jenayah komersial telah tampil untuk membantu siasatan polis.

“Daripada jumlah itu, 28 individu dituduh di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Selain itu, 50 lagi individu yang belum tampil diminta berbuat demikian bagi memudahkan proses siasatan sebelum pihak polis terpaksa mengambil pendekatan undang-undang untuk menahan mereka,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata jumlah aduan kes Ah Long di seluruh negara meningkat iaitu sebanyak 1,029 kes yang dilaporkan dari 1 Januari hingga 31 Okt tahun ini, berbanding hanya 665 kes direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Laporan berhubung kes Ah Long ini meningkat sebanyak 364 kes tahun ini. Selain itu, jumlah pinjaman juga meningkat sebanyak RM8.2 juta kepada RM18 juta tahun ini berbanding RM9.7 juta tahun lepas.

"Jumlah individu yang ditahan berhubung kes ini juga meningkat sebanyak 384 orang iaitu daripada 465 orang kepada 849 orang manakala orang yang telah dituduh meningkat daripada 198 kepada 321 orang,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu