KOTA BHARU, 14 Nov -- Program pertandingan Formula 1 (F1) menjadi inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menarik minat pelajar untuk terlibat dengan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan dan Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM Razuki A Rahim berkata F1 landasan terbaik kepada pelajar untuk mendekatkan diri dengan pendidikan STEM berikutan F1 mempunyai elemen-elemen STEM.
"Daripada F1 kami melatih pelajar di peringkat awal supaya mereka berminat terhadap STEM selaras dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing pada pendidikan Revolusi 4.0.
Ia juga satu cara bagaimana kami untuk melangkah ke Revolusi 4.0 iaitu dengan memberikan pendedahan kepada pelajar di peringkat awal supaya mereka lebih mengenali pendidikan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Peringkat Kebangsaan F1 In School Malaysia 2019.
Sebanyak 24 buah sekolah menyertai pertandingan kali ini yang berlangsung di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu bermula 12 Nov sehingga hari ini.
Razuki berkata KPM turut mengalukan penglibatan pihak korporat, komuniti setempat bagi menganjurkan pertandingan berkaitan F1 untuk memberikan ruang lebih luas kepada pelajar dan pihak sekolah melibatkan diri.
"Kami menggalakkan pihak dari luar untuk melakukan kerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk mengadakan pertandingan program F1 yang lebih baik.
F1 melatih pelajar membentuk kreativiti, inovatif dan berfikiran secara holistik," katanya.
Beliau berkata pada pertandingan F1 tahun ini adalah untuk mencari pemenang bagi mewakili negara ke pertandingan dunia yang akan berlangsung di Abu Dhabi dari 22 sehingga 30 Nov ini.
"Tiga sekolah yang akan mewakili negara pada pertandinan akhir peringkat dunia F1 In School 2019 iaitu Kolej Genius Negara, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom, Pahang.
Mereka ini telah melakukan persiapan tiga sehingga empat bulan yang lalu sebelum menyertai pertandingan terbabit peringkat kebangsaan kali ini,"' katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial