AM

Kapal asing berlabuh tanpa kebenaran  di Tanjung Penyusup ditahan

22/11/2019 07:40 PM

JOHOR BAHRU, 22 Nov -- Sebuah kapal asing jenis ‘kapal kargo pukal’  ditahan pihak berkuasa di kedudukan 3.5 batu nautika timur Tanjung Penyusop, semalam, kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata kapal yang berdaftar di Kribi, Republik Cameroon, Afrika Tengah itu ditahan pada pukul 2.30 petang.

Sewaktu penahanan, kapal berkenaan dikendalikan seorang nakhoda bersama 23 kru yang kesemuanya  berusia antara 21 hingga 68 tahun.

“Kapal dengan tanda nama “NEW ORION”  itu dikendalikan oleh 23 kru yang terdiri daripada  warga  Ukraine  dan Rusia.

Ia ditahan kerana nakhoda gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut semasa pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, dua kru kapal berkenaan dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Mohd Zulfahdli memberitahu satu program 'Sembang Santai Sahabat Maritim' telah diadakan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Sedili hari ini bagi memberi penerangan kepada pengusaha-pengusaha bot rekreasi khususnya aktiviti sukan memancing  berkaitan pendaftaran, pelesenan bot dan peraturan-peraturan terkini.

Katanya, program itu juga menerangkan tentang keselamatan pemancing dan penumpang ketika berada di perairan serta kepentingan pihak berkuasa mengeratkan hubungan dengan komuniti maritim bagi mencegah jenayah maritim.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan