KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengenal pasti pelbagai produk Malaysia yang berpotensi mengisi jurang yang timbul daripada konflik perdagangan Amerika Syarikat-China.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Peningkatan Eksport) MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata kategori produk itu termasuk elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan, produk optik dan saintifik, petroleum serta bahan kimia dan produk kimia.
Mohd Mustafa berkata perang perdagangan tersebut mewujudkan peluang bagi negara-negara ASEAN seperti Malaysia.
"Syarikat-syarikat Malaysia harus lebih proaktif dalam menguruskan cabaran ketegangan perdagangan untuk memperluaskan perniagaan mereka secara bijak," katanya dalam ucapan pada Ekspo Perdagangan Shaanxi ‘Jalur dan Laluan’ China-Malaysia ke-2, di sini, hari ini.
Beliau berkata Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menawarkan peluang bagi komuniti perniagaan Malaysia untuk memanfaatkan perkongsian pintar, kerjasama dan usaha sama.
"Inisiatif ini sangat berfaedah, bukan sahaja untuk Malaysia dan China, tetapi juga negara-negara lain di sepanjang BRI ini terutamanya dalam projek modal aliran keluar dan infrastruktur.
"Syarikat-syarikat dari Shaanxi dapat menjalin perkongsian sama menang dalam bidang seperti peralatan bekalan, teknologi, kejuruteraan, perolehan dan pembinaan," katanya.
Mohd Mustafa berkata syarikat Malaysia terbuka untuk membentuk perkongsian strategik dengan syarikat China untuk bersama-sama melaksanakan projek-projek di Malaysia, China dan negara-negara di sepanjang BRI tersebut.
Beliau berkata syarikat Malaysia juga perlu menggunakan Shaanxi sebagai pintu masuk ke barat laut China, sambil menambah bahawa ia adalah wilayah yang paling ramai penduduk dan maju di rantau ini.
"Terdapat banyak peluang yang boleh kita bekerjasama, seperti alat ganti aeroangkasa dan komponen, E&E, komoditi seperti minyak sawit, getah dan kayu, produk pengguna serta perkhidmatan termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, peruncitan dan francais," katanya.
Beliau berkata Shaanxi juga boleh berperanan sebagai batu loncatan untuk pengeksport halal Malaysia meneroka pasaran di wilayah yang mempunyai 400,000 penduduk Islam di barat China.
Dari Januari hingga September 2019, perdagangan dengan China berjumlah US$55.36 bilion (US $1 = RM4.18), eksport pula berjumlah US$24.13 bilion dan import pada US$31.23 bilion.
"China merupakan penyumbang terbesar pelaburan asing yang diluluskan ke dalam sektor pembuatan tahun lepas yang berjumlah US$ 4.8 bilion," katanya sambil menambah pada 2018 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu US$108.6 bilion.
"Selain itu, 2019 adalah tahun istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Naib Pengerusi Majlis bagi Promosi Perdagangan Antarabangsa Shaanxi, China, Wu Fu Jie berkata perniagaan Malaysia akan dapat mengambil peluang ini untuk memasuki Shaanxi bagi meningkatkan persahabatan Malaysia-China menerusi ekspo tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial