EKONOMI

MATRADE BANTU SYARIKAT MALAYSIA TINJAU PROJEK PEMBINAAN DI TIMUR TENGAH

25/11/2019 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempromosikan syarikat Malaysia dalam sektor pembinaan dan bahan binaan di pameran Big 5 di Dubai, untuk menarik pembeli yang berpotensi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjalankan projek-projek untuk Ekspo Dunia 2020.

Inisiatif selama tiga hari, yang bermula hari ini, tepat pada masanya berikutan Dubai akan menganjurkan Ekspo Dunia 2020 dan Piala Dunia Qatar 2022, menurut agensi penggalakan perdagangan negara itu dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pembinaan dan Perniagaan MATRADE Rusiah Mohamed berkata acara itu bukan hanya mengetengahkan produk buatan Malaysia yang berkualiti tinggi dan inovatif tetapi juga akan menarik rakan kongsi strategik daripada beberapa projek pembinaan di Timur Tengah.

“MATRADE menyasarkan untuk menarik perhatian pemilik projek mega di Dubai seperti Dubai Metro Red Line Extension, Terminal Kontena 4 daripada projek pengembangan pelabuhan Jebel Ali, Royal Atlantis Resort and Residences terletak di Palm Jumeirah, dan projek Dubai Harbor Creek, pada acara itu.

“Kami tahu terdapat pembuat keputusan utama yang terlibat dalam projek-projek ini akan hadir pada acara tersebut,” katanya.

Tahun ini merupakan penyertaan MATRADE yang ke-19 dalam Big 5, pameran bangunan dan pembinaan terbesar dan paling berpengaruh di Timur Tengah, dengan 25 syarikat Malaysia mengambil bahagian dan mempamerkan pelbagai produk mereka termasuk pemanas air, suis, peralatan dapur dan tangki air.

Selain pameran tersebut, pejabat perdagangan MATRADE di Dubai turut menyelaraskan beberapa pertemuan perniagaan untuk memadankan syarikat Malaysia dan bakal pembeli pada acara itu.

“Selama beberapa tahun, pejabat perdagangan kami di Dubai telah mengumpulkan pangkalan data pembeli yang besar dari rantau ini dan pangkalan data ini digunakan untuk memadankan syarikat Malaysia dengan pembeli yang bernilai tinggi.

“Padanan perniagaan dianggap sebagai antara usaha utama kami berikutan ia meningkatkan peluang syarikat Malaysia untuk mendapat urus niaga eksport,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan