AM

UTeM juara PMCC 2019

27/11/2019 11:40 PM

MELAKA, 27 Nov -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melakar sejarah apabila merangkul kejuaraan sulung selepas mengalahkan 15 universiti lain pada Kejohanan PUBG Mobile Campus Championship (PMCC) 2019 di IOI Mall, Puchong, Selangor, Ahad lalu.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata lima pelajar tersebut ialah Mohamed Alif Najmi Ikmil Hazri, Danial Irfan Abd Halim, Muhamad Haziq Haikal Kamarudin dan Ariz Mustaffar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal serta Wan Ashraf Idham Wan Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan.

“Kejayaan ini sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM18,000 dan satu tempat khas mewakili UTeM dalam Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile 2020,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan tersebut membuktikan pelajar bidang kejuruteraan tidak hanya menyerlah dalam akademik semata-mata, sebaliknya mereka turut berkepakaran luas dan mempunyai bakat dalam bidang sukan elektronik (e-sukan) yang semakin berkembang pada masa kini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata e-sukan kini tidak lagi dipandang sebagai perkara membazirkan masa namun ia adalah cabang memupuk semangat kesukanan dan melahirkan bakat baharu di negara ini.

PMCC merupakan kejohanan e-sukan antara universiti pertama yang menjadi platform kepada pelajar universiti atau kolej mempamerkan bakat serta kebolehan mereka dalam permainan e-sukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan