EKONOMI

Kerugian bersih suku ke-3 FGV berkurangan kepada RM262.41 juta

28/11/2019 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov  -- FGV Holdings Bhd mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM262.41 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019 (S3 2019), berbanding kerugian bersih RM849.46 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil naik 11 peratus tahun ke tahun kepada RM3.55 bilion daripada RM3.19 bilion sebelumnya.

Syarikat perladangan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kerugian bersih itu adalah disebabkan oleh rosot nilai berjumlah RM304 juta, harga direalisasi minyak sawit mentah (MSM) yang rendah bagi tempoh tersebut dan kerugian dalam perniagaan gula.

Sementara itu, hasil tinggi tersebut disumbang oleh peningkatan ketara prestasi operasi, yang membawa kepada hasil tinggi dan kos rendah meskipun penurunan harga MSM yang jatuh kepada RM1,983 setan metrik daripada RM2,224 setan metrik pada Suku Ketiga 2018, serta purata harga jualan rendah bagi gula.

Bagi suku tersebut, sektor perladangan merekodkan kenaikan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 15 peratus tahun ke tahun kepada 1.24 juta tan metrik daripada 1.08 juta tan metrik sebelumnya, manakal hasil FFB meningkat 19 peratus kepada 5.12 tan metrik sehektar berbanding 4.32 tan metrik sehektar sebelumnya.

Syarikat itu berkata dengan peningkatan sedikit dalam kadar pengekstrakan minyak MSM, pengeluaran MSM kumpulan meningkat 21 peratus kepada 832,000 tan metrik daripada 689,000 tan metrik pada suku ketiga 2018.

Kuantiti pengeluaran yang bertambah baik, bersama dengan peningkatan kecekapan operasi, membawa kepada kos harga dikilang yang lebih rendah pada suku ketiga 2019 pada RM1,500 setan metrik -- 19 peratus lebih rendah berbanding RM1,852 sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata peningkatan bilangan operasi itu adalah disebabkan oleh sistem dan proses pengurusan pertanian baharu yang dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lepas.  

“Meskipun masih terdapat ruang bagi lebih banyak peningkatan, terutamanya dengan faktor penggunaan kilang kami, saya yakin FGV bakal mencapai sasaran kasar yang ditetapkan oleh lembaga kami,” katanya. 

Sementara itu, pernigaan hiliran juga mencatatkan prestasi lebih baik dalam suku ketiga 2019, dengan margain keuntungan kasar bagi perniagaan pemprosesan isi rung sawit meningkat kepada tujuh peratus daripada dua peratus tahun lepas.

Sektor gula merekodkan kerugian RM220 juta bagi suku tersebut, berbanding keuntungan RM22 juta dalam suku ketiga 2018, disebabkan terutamanya rosot nilai RM145 juta bagi hartanah, kilang dan peralatan. 

Sektor itu juga terjejas oleh penurunan tiga peratus dan empat peratus dalam purata harga jualan bagi segmen domestik dan industri MSM Malaysia Holdings Bhd.

Bagaimanapun keuntungan sektor logistik meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM21 juta daripada RM18 juta pada Suku Ketiga 2018 disebabkan oleh peningkatan ketara dalam operasinya hasil daripada peningkatan tanan dan kuantiti penyimpanan yang masing-masing meningkat sebanyak 34 peratus dan 35 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan