AM

DEWAN RAKYAT ZAHIR UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA SETIAUSAHA DEWAN RAKYAT

05/12/2019 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis  -- Dewan Rakyat hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah yang akan bersara pada Februari tahun hadapan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menyampaikan ucapan itu mewakili ahli-ahli Parlimen sebelum Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan soal jawab lisan dimulakan.

Menerusi ucapan ringkas itu, Nga berkata segala jasa yang dicurahkan Rosmee selama berkhidmat amatlah dihargai dan akan dikenang sepanjang masa.

“Untuk makluman dewan ini, hari ini adalah hari terakhir Datuk Rosmee Hamzah Setiausaha Dewan Rakyat kita yang bertugas mengendalikan urusan Dewan Rakyat setelah 40 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam dan 19 tahun bekhidmat untuk dewan yang mulia ini,” katanya disambut tepukan gemuruh ahli-ahli Parlimen.

Sebelum mengakhiri ucapan itu, beliau menghadiahkan serangkap pantun iaitu: “Di atas bukit tanamnya ubi. Burung tempua buatnya sarang. Bukan budi sebarang budi. Budi baik akan sentiasa dikenang”.

Nga turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada penganut agama Kristian dan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Ke-14 bersidang buat kali terakhir hari ini bagi tahun ini selepas sembilan minggu bersidang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan