SUKAN

Gelaran raja pecut Asia Tenggara ubat prestasi hambar kontinjen Malaysia

09/12/2019 02:33 AM

MANILA, 8 Dis  -- Kejayaan pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi mepertahankan emas negara dalam acara 100 meter lelaki berjaya mengubat prestasi hambar kontinjen Malaysia pada hari kelapan Sukan SEA ke-30 di Filipina, hari ini.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu yang dipanggil pada saat-saat akhir ke Sukan SEA, mempamerkan larian cemerlang untuk menyambar pingat emas dengan catatan 10.35 saat, sekaligus mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara yang dimenangi Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kontinjen Malaysia hari ini sekadar menambah empat pingat emas, masing-masing menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi lelaki, Mohammad Rifdean Masdor (Muay Thai 45 kg lelaki), P. Madhuri (karate-kumite wanita 55kg), Grace Wong dalam acara papan selaju 'downhill' wanita, dan Muhammad Haiqal.

Kontinjen Malaysia turut menambah 12 perak dan 10 gangsa pada hari ini, namun kekal berada di tangga keenam menerusi kutipan 41 emas, 42 perak dan 62 gangsa dan ia dijangka sukar untuk mencapai sasaran 70 emas dengan berbaki dua hari pertandingan sebelum tirai Sukan SEA 2019 melabuhkan tirainya pada 11 Dis ini.

Tuan rumah, Filipina sah dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2005 dengan kutipan 112 emas, 86 perak dan 87 gangsa, disusuli Indonesia (65-62-79), manakala Vietnam kekal di tangga ketiga keseluruhan dengan pungutan 65 emas, 59 perak dan 78 gangsa.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari kesembilan, esok dalam beberapa acara, antaranya renang, memanah, olahraga dan polo campuran.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan