Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 2h ago ]

Sudan kurangkan jumlah tentera di Yaman kepada 5,000 orang

Tarikh kemaskini: 09/12/2019
Abdalla Hamdok (Foto: Mario Salerno/European Union/dpa)
KHARTOUM, 9 Dis -- Sudan telah mengurangkan jumlah anggota tenteranya yang ditempatkan di Yaman kepada 5,000 orang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Perdana Menteri Abdalla Hamdok pada Ahad.

Bercakap kepada pemberita di lapangan terbang Khartoum sejurus tiba dari lawatan ke Amerika Syarikat, Hamdok mengumumkan buat pertama kali bahawa jumlah tentera Sudan di Yaman ialah 15,000 orang dan mengesahkan bahawa kerajaan negara itu telah menarik balik 10,000 anggota dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

“Menyentuh isu Yaman, kami sebenarnya telah membincangkan perkara itu di Majlis Atlantik,” katanya merujuk kepada badan pemikir yang berpangkalan di Washington DC di mana beliau berucap pada Khamis lepas.

“Kami mengesahkan bahawa tiada penjelasan ketenteraan bagi perang di Yaman dan sebagai rakyat Sudan, kami amat berminat untuk membantu mencapai satu penyelesaian politik di sana.

“Mengenai isu pengunduran tentera kami di Yaman, jumlah anggota di situ ialah 15,000 dan kami telah mengurangkan mereka kepada 5,000 orang. Kami tidak bercakap mengenai penarikan diri sebaliknya pengurangan jumlah anggota tentera,” kata beliau.

Sudan mengambil bahagian dalam tentera gabungan yang diterajui Arab Saudi di Yaman yang berjuang menentang pemberontak Houthi.

Hamdok turut mendedahkan bahawa kemajuan telah dicapai semasa lawatannya ke AS berkaitan penyingkiran Sudan daripada senarai penaja keganasan Washington dan menambah lima daripada tujuh syarat yang dikenakan AS lima daripada tujuh syarat yang dikenakan AS.

"Kami sudah memenuhi lima daripada tujuh syarat yang dikenakan AS termasuk proses damai di Sudan, akses kemanusiaan, kebebasan beragama, hubungan dengan Korea Utara dan situasi hak asasi manusia,” katanya.

“Dua perkara yang masih dibincangkan ialah kerjasama Sudan berkaitan perang ke atas keganasan serta pampasan untuk mangsa rakyat AS dalam serangan pengganas di kedutaan Amerika di Nairobi dan Dar es Salaam.”

Semasa lawatan itu, kedua-dua negara turut bersetuju bertukar duta buat pertama kali dalam tempoh 23 tahun.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu