KUCHING, 10 Dis -- Sarawak menjadi negeri perintis di Malaysia yang memiliki Akaun Satelit Pelancongan (TSA) serantaunya sendiri, satu kaedah popular dan diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk mengukur sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dengan adanya TSA, kerajaan Sarawak dan peserta industri pelancongan sudah tentu akan dilengkapi dengan data berwibawa untuk mewujudkan strategi serta dasar baharu yang berkesan untuk membawa manfaat ekonomi yang sangat besar.
“Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi memastikan maklumat sentiasa dikemas kini dalam TSA kita.
“Sebagai tambahan, sejajar dengan strategi pembangunan ekonomi Sarawak ke arah digital Sarawak, kementerian saya menambah baik dan menyediakan pelbagai maklumat statistik pelancongan dalam format digital bertujuan melancarkan penyediaan data yang pantas, tepat serta terkini bagi industri pelancongan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Akaun Satelit Pelancongan Sarawak di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting dan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata berdasarkan statistik pada 2018, industri pelancongan Sarawak menyumbang sejumlah RM122 bilion daripada RM1.177 trilion Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.
“Dengan penduduk Sarawak hanya berjumlah 1.8 juta, ia sesuatu yang baik berbanding negeri lain.
“Sebelum ini (2017), Sarawak berada di kedudukan keempat. Kebanyakan negeri kini berusaha ke arah mempertingkatkan prestasi ekonomi masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial