EKONOMI

Panel solar menjimatkan, rendah karbon - TNB

12/12/2019 10:22 AM

MELAKA, 12 Dis -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggalakkan syarikat swasta serta jabatan dan agensi kerajaan untuk mengunakan panel solar bagi menjana bekalan tenaga untuk mencapai matlamat bandar rendah karbon serta menjimatkan.

Ketua Pegawai Retail TNB Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata TNB masih dalam peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri Melaka serta beberapa syarikat swasta bagi merealisasikan hasrat itu.

Katanya, TNB telah menandatangi perjanjian dengan sebuah syarikat tempatan, Subitec Sdn Bhd bagi pemasangan panel solar dan ia dilihat berupaya menjadi pemangkin kepada syarikat lain di negeri ini bagi mengadaptasikan pembangunan lestari.

“Menerusi perjanjian ini juga bakal menyaksikan penjimatan bil elektrik bernilai RM1 juta yang akan dinikmati syarikat (Subitec Sdn Bhd) dalam tempoh 25 tahun melalui pemasangan 150kWp panel solar fotovoltaik (PV) di bumbung kilang mereka di Ayer Keroh.

“Kami yakin projek ini menjadi permulaan terbaik kepada kerjasama mampan ini selain menyokong setiap usaha ke arah merealisasikan sasaran tenaga boleh diperbaharui sekali gus memelihara alam sekitar melalui penjanaan berkesan tenaga hijau,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian bekalan tenaga boleh diperbaharui (SARE), di pejabat TNB Banda Kaba, di sini, malam tadi.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, TNB diwakili Megat Jalaluddin manakala Subitec diwakili Pengarah Urusannya Datuk Abidin Md Napis dan anak syarikat milik penuh TNB Renewables, GSPARX Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Faiz Md Yusof.

Menurut Megat Jalaluddin, sebelum ini  TNB dan GSPARX telah menandatangani SARE dengan beberapa organisasi seperti sekolah, universiti swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemaju perumahan di beberapa negeri antaranya di Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Perjanjian SARE ini juga seiring dengan inisiatif diperkenalkan kerajaan yang menganjurkan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 dengan sasaran mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar karbon rendah.

“Di samping mencapai sasaran 20 peratus penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebelum tahun 2025,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan