Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 6h ago ]

Anwar hadir beri keterangan di Bukit Aman

Tarikh kemaskini: 12/12/2019
Datuk Seri Anwar Ibrahim (Gambar kecil: Muhammed Yusoff Rawther)
KUALA LUMPUR, 12 Dis -- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, bagi membantu siasatan dakwaan Muhammed Yusoff Rawther dirinya dicabul pemimpin itu pada 2 Okt tahun lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata Anwar hadir pada pukul 3.45 petang bersama peguam serta setiausahanya .

"Beliau memberi kerjasama yang baik dalam sesi yang berlangsung kira-kira satu jam setengah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Anwar dalam satu kenyataan berkata sepanjang proses itu, beliau telah memberikan fakta dan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

"Sejurus itu mereka (polis) bersama saya yang turut disertai peguam Ramkarpal Singh telah ke rumah untuk melengkapkan siasatan.

"Saya menghargai tindakan dan layanan pegawai polis yang menjalankan tugas dengan penuh profesional sepanjang proses berlangsung," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata pihaknya akan memanggil Anwar Ibrahim dan beberapa saksi lain yang berkaitan untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Menurut Huzir, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.

Pada Sabtu, media melaporkan Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya, dan dalam laporan sama beliau turut menzahirkan kebimbangan akan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu